السلام عليکم

Ahad, 29 Jun 2014

AMALAN KESUKAAN NABI MUHAMMAD S.A.W DI BULAN RAMADHAN

AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut. Ibn Abbas melaporkan: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)
Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “… bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”
Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)
Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.
Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)
Zakat fitrah
Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.

NAJIS YANG DIMAAFKAN TIDAK MENJEJASKAN SEMBAHYANG

Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya serta tempatnya bersembahyang suci daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan itu, maka hendaklah ianya dibersihkan terlebih dahulu sehingga tempat yang terkena najis itu menjadi suci. Salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan!” (Surah al-Muddatstsir: 4)
Syarat suci daripada najis ketika di dalam sembahyang adalah juga berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:Maksudnya: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Daripada ayat dan hadits di atas, jelas bahawa tidak sah sembahyang seseorang yang terdapat najis pada tubuh badan, pakaian atau tempatnya bersembahyang. Namun jika sekiranya najis itu merupakan najis yang dimaafkan, maka sembahyangnya adalah sah walaupun dia tidak menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu terlebih dahulu.
Untuk memudahkan seseorang itu melaksanakan ibadatnya, adalah perlu dia mengetahui apakah perkara yang dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.
Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan itu?
Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripadanya.
Berikut adalah sebahagian contoh najis-najis yang dimaafkan:
1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar, walaupun ia daripada najis mughallazhah. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.
2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.
Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.
Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu:-
  • Darah atau nanah tersebut merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri
  • Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.
  • Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.
3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya sedikit.
Menurut Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.
4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.
Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.
5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.
6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air ludahnya ketika di dalam sembahyang.
7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan tersebut.
Perhatian: Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.
Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan. Kerana itu umat Islam diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis sehinggakan suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat dijadikan sebagai salah satu syarat sah sembahyang. Walau bagaimanapun Islam juga adalah agama yang tidak membebankan umatnya dengan kesukaran. Contohnya pengecualian terhadap najis yang dimaafkan yang tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran menghilangkannya atau mengelak dari terkena najis tersebut.

...Islamituindah.my
SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....