السلام عليکم

Rabu, 13 Januari 2010

GEJALA GEJALA PENYAKIT ROHANI

PENGERTIAN ROHANI

Perkataan rohani dalam bahasa Malaysia sering dikaitkan dengan: hati, kalbu, jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang mewujudkan sebagai suatu unsur peribadi manusia yang paling unik yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Tetapi gejala dalam kerjanya dapat dirasakan. Gejala itu misalnya: menangkap dan menyimpan pengertian, mengingat, berfikir, berkemahuan, rindu, sedih, gembira dan sebagainya.

Imam Ghazali dalam kitab Ihyaulumiddin menerangkan bahawa roh itu ada dua makna. Pertama berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati jasmani dengan perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian badan. Kedua, ianya berupa sifat halus pada manusia yang dapat mengetahui sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian. Banyak pengertian yang dikemukakan mengenai jiwa namun begitu belum ada yang dianggap memuaskan.

Keterangan tentang adanya penyakit rohani itu dikemukakan di dalam Al-Quran antaranya:

Firman Allah yang bermaksud:

‘Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambah penyakit mereka dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan’.

(Al-Baqarah, ayat 10)

LEMAH DAYA KERJA

Jika seseorang itu sihat rohaninya ia akan memiliki kemampuan beramal yang tinggi, ghairah bekerja dan bersemangat untuk maju dalam kebaikan. Sebetulnya orang yang mengidap penyakit rohani akan nampak kemundurannya dalam kemampuan bekerja,

hilang ghairah dan semangatnya untuk maju. Yang menonjol hanyalah kelemahan dan kemalasan.

TUMPUL FIKIRANNYA

Orang yang sihat rohaninya mudah menangkap kebenaran, hatinya selalu dipancari (nur) kebenaran. Adapun orang yang sakit rohaninya terlihat adanya kebodohan, kelemahan dalam berfikir sehingga susah menerima kebenaran. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

‘Tidakkah mereka mahu berjalan di muka bumi, supaya ada bagi mereka hati yang mereka boleh mengerti dengannya, atau telinga yang boleh mendengar dengannya. Sesungguhnya bukan penglihatan yang buta tetapi hati mereka yang ada di dalam dada itulah yang buta’.

(Al-Haj, ayat 46)

Mereka begitu susah menangkap kebenaran, sekalipun dengan perbandingan dan perumpamaan sahaja. Dalam hati mereka terdapat kotoran yang menutup mata hatinya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

‘Dan sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam terhadap sejumlah jin dan manusia. Mereka yang mempunyai hati tetapi tidak mahu mengerti dengannya dan mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai’.

PENDANGKALAN RASA

Orang yang sihat rohaninya ialah orang yang begitu terkesan apabila mendapat nikmat dan rahmat Allah yang diterimanya dengan penuh syukur. Adapun bagi orang yang tidak pandai bersyukur dengan nikmat Allah dianggap sebagai memiliki perasaan dangkal dan kelemahan zauq. Pendangkalan rasa terhadap nikmat Allah itu dapat dipandang sebagai gejala penyakit rohani. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

‘Apabila kesukaran menimpa manusia, mereka seru Tuhan dalam keadaan berserah diri kepadaNya, kemudian apabila ia rasakan kepada mereka rahmat daripadaNya, tiba-tiba segolongan daripada mereka menyekutukan Tuhan mereka.’

(Rum, ayat 33)

GELISAH DAN KELUH KESAH

Orang yang sihat rohaninya, terdapat ketenangan pada air mukanya. Sebaliknya orang yang mengalami gangguan penyakit rohani, terdampar pula melalui sikapnya yang diliputi kegelisahan dan keluh kesah. Kegelisahan dan keluh kesah itulah yang merupakan pencerminan daripada ketidak stabilan mental.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

‘Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat gelisah. Apabila bahaya mendatangani dia keluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan amatlah kedekutnya. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang. Yakni mereka yang tetap dalam sembahyangnya’.

(Al-Maarij, ayat 19-23)

LIAR TERHADAP KEBENARAN

Salah satu daripada tanda ketenangan jiwa ialah kecenderungan mencari dan menerima kebenaran dan menolak kebatilan. Fikirannya tenang dan sentiasa mempertimbangkan sesuatu itu dengan baik. Sebaliknya orang yang liar terhadap kebenaran dan tidak senang mendengarkan mutiara-mutiara hikmah dapat dipandang sebagai orang yang terkena penyakit rohani.

Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:

‘Apakah di dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu ataupun mereka khuatir kalau-kalau Allah dan RasulNya menganiaya mereka. Tidak! Bahkan mereka itulah orang yang zalim.

(An-Nur, ayat 50)

BURUK SANGKA

Salah satu daripada tanda penyakit rohani ialah prasangka-prasangka yang buruk, antara lain anggapan yang bukan-bukan terhadap Allah dan RasulNya. Firman Allah yang bermaksud:

‘Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang yang dihatinya ada penyakit berkata: ‘Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan tipuan.’

(Al-Ahzab, ayat 12)

Selain mempunyai prasangka yang buruk terhadap Allah dan RasulNya, ia juga mempunyai prasangka yang buruk dan suka curiga terhadap orang lain tanpa alasan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

‘Wahai orang yang beriman, tinggalkanlah sebahagian besar daripada sangka-sangka, kerana sebahagian daripada sangka-sangka itu dosa.’

(Al-Hujarat, ayat 12)

SUKA MENGHASUT (FITNAH)

Jika orang yang sihat rohaninya selalu rindukan ketenangan, kedamaian dan ketenteraman, sebaliknya orang yang berpenyakit rohani kadangkala suka menghasut dan menimbulkan pergaduhan dan keributan. Sebab itulah sikap suka menghasut dan menimbulkan kegemparan di dalam masyarakat dapat dipandang sebagai penyakit rohani. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

‘Sesungguhnya kalau orang munafik dan mereka yang dihatinya ada penyakit dan penggempar-penggempar (penghasut-penghasut) di Madinah tidak menghentikan (kegiatannya) sudah tentu kami akan perintahkan engkau menyerang mereka, kemudian mereka tiada dapat tinggal berjiran dengan engkau kecuali sementara waktu saja.’

(Al-Ahzab, ayat 60)

MENARUH HATI TERHADAP WANITA YANG SUDAH BERSUAMI

Salah satu gejala daripada ketidak-normalan jiwa ialah sikap menaruh hati dan berkeinginan terhadap wanita-wanita yang sudah mempunyai suami. Kerana itulah, maka Allah memberi nasihat kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. Firman Allah s.w.t. bermaksud:

‘Hai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak sama dengan seorangpun dari wanita-wanita lain jika kamu berbakti. Maka janganlah kamu berlembut kata (kepada lelaki lain), kerana akan menaruh harapan (akan timbul keinginan) orang yang hatinya ada penyakit melainkan ucapkanlah perkataan yang sopan.’

(Al-Ahzab, ayat 32)

Di antara ahli tafsir ada yang mentafsirkan pengertian penyakit dalam ayat tersebut sebagai syahwat zina. Keterangan ini logik kerana orang yang normal fikirannya tentu dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang halal dan mana yang haram. Adapun orang cenderung kepada hal-hal yang tidak wajar dan menyimpang dari nilai-nilai moral maka ia dipandang sebagai kelakuan yang tidak normal.

KEROSAKAN YANG DITIMBULKAN OLEH PENYAKIT ROHANI

Setiap orang merasakan dan mengetahui betapa buruknya akibat-akibat penyakit jasmani yang menimpa seseorang. Tetapi penyakit rohani sebenarnya mempunyai akibat-akibat buruk yang lebih serius daripada penyakit jasmani. Antaranya ialah:

1. MENGGANGGU KETENANGAN

Orang yang berpenyakit rohani tidak akan dapat menikmati ketenangan hidup. Hal ini bererti mencelakakan dan meruntuhkan kebahagian. Hanya orang yang sihat rohani sajalah yang dapat menikmati ketenangan dan kebahagiaan.

2. MENJAUHKAN DIRI DARI TUHAN

Penyakit rohani dalam istilah lain disebut ghibah, sifat buruk, muhlikat, sifat buruk yang merosakkan atau ahlqul mazmunah yakni akhlak yang tercela. Sifat dan sikap mental yang demikian amat tidak diredai oleh Allah dan diperhitungkan sebagai dosa; misalnya munafik, iri hati, sombong, dan lain-lainnya. Dengan demikian memiliki sifat dan sikap tersebut bererti membuat diri dimurkai dan kian jauh dari Tuhan.

3. MELUMPUHKAN DAYA KERJA

Jika orang yang sihat rohaninya dia akan dapat bekerja dengan tekun dan beramal kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya sebagai bakti kepada Allah dan ihsan kepada sesama manusia. Sebaliknya orang yang berpenyakit rohani, daya kerjanya lumpuh dan tidak sanggup melakukan sesuatu yang penting dan bernilai dalam pembangunan. Jika seseorang hanya pandai merosak tetapi tidak pandai membangun maka dapatlah dipandang orang itu sebagai sampah masyarakat bahkan lebih buruk daripada sampah.

4. MEROSAKKAN JASMANI

Ahli-ahli di bidang kesihatan pada umumnya sependapat bahawa penyakit-penyakit rohani mengakibatkan berlakunya kerosakan pada jantung, tekanan darah, saraf, paru-paru dan sebagainya. Gangguan mental menyebabkan orang merasa tidak enak makan, dan tidak dapat tidur. Apabila penyakit rohani itu berlarutan tanpa ada usaha pengubatan dan pencegahan, maka akan membahayakan dirinya sendiri mahupun bagi orang lain.

Apabila penyakit itu kian bertambah berat, sehingga ke tahap membahayakan orang lain serta tidak dapat lagi memahami kenyataan-kenyataan hidup maka orang itu pasti terkena tekanan penyakit gila atau janun.

MENGUBATI MULUT CELUPAR

Mengubati Mulut Celupar


Adakah anda sedar anda bermulut celupar? Pernahkah anda berusaha untuk berubah tetapi tidak berjaya? Artikel ini membincangkan teknik mengubati penyakit mulut celupar daripada Al-Quran, khusus untuk mereka yang berniat untuk berubah, Insya Allah.

Rasulullah telah meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan. Petua ini berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka memfitnah, mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain mulut celupar.

Pertama, nabi menyuruh diam. Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa nabi pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”

Kemudian, nabi menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah. Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan dan kepentingan diri dan terlupa memuji pencipta lidah setiap hari. Kata-kata yang dihasilkan oleh lidah dalam memuji pencipta lidah lebih sedikit berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi sesama kita. Menurut sahabat Ibnu Umar, nabi pernah berkata, “Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang yang paling keras hati.

Berhubung dengan zikir, menurut rekod Imam Bukhari, nabi telah menyatakan, “Ada dua kalimat yang paling disukai Yang Maha Pengasih. Sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat dalam timbangan. Kedua-dua kalimat itu adalah ’subhanallah wa bihamdihi’ dan ’subhanallah hil azim’.” Kedua-dua kalimat ini membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’ Di dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca “subhanallah wabihamdihi” 100 kali sehari, maka semua doasanya diampunkan oleh Allah, meski pun sebanyak buih di lautan.

Ketiga, sahabat Huzaifah r.a. pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang keburukkan yang ada pada lisannya. Maka Rasulullah bersabda, “Bagaimanakah engkau dengan istighfarmu wahai Huzaifah? Sesungguhnya aku beristigfar kepada Allah s.w.t.seratus kali setiap hari.” Istighfar bermaksud memohon ampun. Ucapan istighfar yang dimaksudkan adalah sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, “Astaghfirullahazim” disertakan “perasaan menyesal” di dalam hati. Jika nabi yang maksum dan yang baik tutur kata beristighfar kepada Allah sebanyak itu, bagaimana pula agaknya jumlah kuantiti istighfar orang yang mempunyai penyakit lisan?

Wallahu’alam. Selamat mencuba :)


...post by khaulah insyirah di Bicara Muslim...

Isnin, 11 Januari 2010

WUJUDKAH HANTU?

SOALAN:

Wujudkah hantu? Tidakkah syirik atau khurafat mempercayainya?


JAWAPAN:

Hantu memang wujud. Sama ada syirik, khurafat ataupun tidak, bergantung kepada pemahaman kita.

Pertama- Untuk menjelaskan hal ini kita mengambil masyarakat Melayu sebagai contoh terhampir.

Kedua- Kita kena mengenal apa yang disebut ‘hantu’ oleh masyarakat Melayu. Sekurang-kurangnya ada empat bangsa hantu yang dikenal di alam Melayu iaitu:


1. Daripada bangsa jin

2. Daripada bangsa manusia

3. Daripada bangsa haiwan

4. Daripada bangsa alam


Perkataan ‘jin’ mungkin sekali berasal daripada bahasa Arab, dibawa masuk ke alam Melayu bersama-sama kedatangan agama Islam. Sebelum itu orang Melayu menyebut jin dengan nama yang lain dan salah satunya ialah ‘hantu’.


Jin terdiri daripada pelbagai jenis dan rupa. Masyarakat Melayu menamakan jin-jin itu mengikut jenis-jenisnya. Jin yang besar dan kuat disebut hantu raya, jin yang buah dadanya panjang disebut hantu kopek, jin yang seperti rupa kanak-kanak kecil disebut hantu toyol, jin perempuan yang mengilai-ngilai dipanggil hantu langsuir atau hantu pontianak, jin yang digunakan untuk merasuk orang dipanggil hantu polong ataupun hantu pelesit, jin yang tinggal di tanah disebut jin tanah, jin yang tinggi melangit disebut hantu galah dan macam-macam lagi.


Semua jenis jin ini dicipta oleh Tuhan dan kita mesti percaya akan kewujudannya kerana ia termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Bukan orang yang percaya itu yang salah tetapi yang tidak percaya akan kewujudan makhluk inilah yang salah. Bukankah dalam al-Quran pun ada disebut tentang jin? Itu kan bukti kewujudannya dan bukti Tuhan mahu kita percaya akan kewujudannya?


Hantu yang kedua ialah daripada bangsa manusia. Antaranya orang-orang yang menuntut ilmu-ilmu salah hingga menjadi orang minyak, hantu harimau, serigala jadian, hantu penanggal dan lain-lain. Kadang-kadang manusia misteri yang nampak menakutkan juga disebut hantu termasuklah makhluk asing.


Hantu jenis ketiga ialah dari kalangan haiwan. Contohnya haiwan ganjil yang menakutkan orang ramai. Juga bigfoot.


Jenis keempat ialah alam. Biasanya jenis ini disangkakan hantu. Bahagian belakang daun pisang yang terkena cahaya pada waktu malam gelap akan kelihatan seperti lembaga yang menakutkan. Ia disebut hantu. Ada gua-gua yang menerima tiupan angin dan menghasilkan bunyi yang mengerikan, disebut juga bunyi hantu. Dahan dan ranting pokok yang melambai-lambai ada juga disebut hantu.


Kesimpulannya, hantu memang wujud dan mempercayai kewujudannya tidaklah khurafat ataupun syirik, bahkan memang dituntut agama supaya percaya.


Kepercayaan ini akan jadi khurafat dan syirik jika kita percaya 4 jenis bangsa hantu di atas tadi mampu memberi manafaat ataupun mendatangkan mudarat pada hakikatnya. Pada syariatnya, memang makhluk-makhluk Allah mampu memberi bekas seperti pisau yang menghiris, anjing yang menggigit, tanah runtuh yang mempenyet dan melemaskan, bau cempaka yang mengharumkan, langgaran kereta yang menyakitkan dan sebagainya. Tetapi pada hakikatnya Allah yang berkuasa memberikan kesan.

...alexanderwarthen..

WAKTU YANG BAIK UNTUK BERDOA

• Pada malam qadar (sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan)
• Pada hari Arafah ( 9 Zulhijjah di kala jemaah haji wukuf di Arafah)
• Pada bulan Ramadhan
• Pada malam Jumaat
• Pada hari Jumaat
• Waktu berjumaat, lebih-lebih lagi ketika imam duduk di mimbar sampai imam mengucapkan salam
• Pada tengah malam
• Seperdua malam yang kedua (sesudah jam 12 malam)
• Sepertiga malam yang pertama (jam 6 sampai 10 malam)
• Sepertiga malam yang terakhir (sesudah jam 2 malam)
• Pada waktu sahur (sebelum fajar)
• Sesudah berwuduk
• Ketika orang azan untuk sembahyang
• Antara azan dan iqamat
• Ketika orang mengucapkan iqamat
• Ketika berbaris (jalan bersama) menuju medan perang sabil
• Di dalam pertempuran di medan perang
• Di akhir tiap-tiap sembahyang fardu
• Pada waktu sedang sujud (dalam solat atau di luar solat)
• Ketika sedang membaca Al-Quran
• Setelah tamat membaca Al-Quran
• Ketika minum air zamzam
• Pada waktu ayam jantan berkokok (pda waktu pagi)
• Pada saat berkumpulnya kaum muslimin kerana agama
• Pada waktu berkumpul untuk berzikir (iaitu berkumpul untuk menyebut kebesaran Allah, bertakbir, bertahmid dan bertasbih, atau berkumpul membaca dan mempelajari Al-Quran, atau berkumpul menerima pelajaran agama Islam)
• Ketika menutupkan mata orang yang telah mati
• Pada waktu turun hujan

Jumaat, 1 Januari 2010

LELAKI..

LELAKI KACAK UNTUK DIDAMPINGI.


Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang
bermaksud:
"Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak
akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih
tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi,bukan malaikat
dan sebagainya".
Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa
Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya
akan diterima Allah.


Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa Apabila
seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk
melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak
akan berdiri di bahagian kepalanya.
Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang
mendiami antara dadanya dan kain kafan itu Bila
selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli
keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan
datanglah dua malaikat;Munkar dan Nakir cuba untuk
memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat
membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal
dunia itu tanpa sebarang gangguan.Tetapi orang yang
kacak itu akan berkata :

"Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya
berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun.
Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan
meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke
syurga!"

Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan
berkata:

"Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya
kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala
dengan suara yang kuat.""Janganlah engkau bimbang.
Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak
akan berasa dukacita lagi" Bila pertanyaan selesai,
orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu
hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari
malaikat - malaikat dari syurga"

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu
adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat
Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa
berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita
adalah orang-orang yang rugi. Cuba kita renungkan
sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah
ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan
mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun
untuk tempoh sesaat.
Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi ! yang
akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali
amalan-amalan kita sewaktu di dunia. Allah telah
menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung
dan janji Allah itu adalah benar.

wallahua'lam
SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....