السلام عليکم

Isnin, 27 Julai 2009

CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA

CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA

Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala
seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang
dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang
disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka
tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru,
demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal
cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair
mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku
pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat
Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke
atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair
telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia
mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair
dna dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah
diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam.
Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut
menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu
pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai
kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka
terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan
keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang
suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan
pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan
tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi
akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam
dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi
Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian
adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku
tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan
saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku
tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang
disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum
kafir itu. Ketahuilah bahwasanya kampung yang kekal itu lebih baik
daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang
bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah
kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada
Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa
tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya
Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan
musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan
dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu
dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah
kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan
pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung
yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang
masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh,
kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau
syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah
memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang
berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari
ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera
Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan
Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan
pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga.
Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun
berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari
mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu,
telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara
yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan
kita buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya
disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang
mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami
Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah
bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh
bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan
bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang
Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal
cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat
terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan
segeralah untuk mempertahankan diri. Dapatkan kemenangan yang bakal
membawa kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal
mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul
abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah
pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak
membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke
jurang bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk
mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di
garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya
kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan
tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki
berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam
dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan
bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan
menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi
yang lainnya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk
memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal
kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai
dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah.
Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian
kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam
yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia
itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang
syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu
juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa
memberitahukan bahwa keempat-empat anaknya telah menemui syahid.
Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak
bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan
mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan
aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang
masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan
pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita
penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya
ibu kepada orang-orang yang mati syahid."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....