Ikhlas ada 7 peringkat :
3 Peringkat orang awam dan 3 peringkat salikin orang yang menjalani jalan kerohanian, Toriqah Sufiyyah dibawah bimbingan Shaikh yang Kamil, pewaris Nabi Sallallahu 'Alaihi WaSallam. Dan 1 peringkat wasilin iaitu orang yang telah sampai maqam keTuhanan yang sempurna.
Ikhlas peringkat orang awam :
Peringkat 1 :
Memperbuat suatu kerana Allah Taala. Disamping itu ada niat dalam hatinya ingin pahala dan syurga.
Peringkat 2:
Memperbuat suatu kerana Allah Taala semata-mata dan tiada mengharap pahala atau syurga tetapi memandang bahwa dirinya memperbuat amal tersebut.
Peringkat 3 :
Memperbuat suatu kerana Allah Taala semata-mata. tiada mengharap pahala atau syurga, tiada juga memandang diri yang berbuat amal itu. Namun dia memandang dan merasa bahwa dirinya sudah ikhlas.
Ketiga-tiga peringkat ikhlas ini adalah sah di sisi Fiqh. Dan terlepas daripada kewajipan 'taklif' atas diri.
Namun disudut kerohanian dan didikan hati dalam tasawwuf pada pandangan Arifin Billah ketiga-tiga peringkat ini belum sah "pada hakikatnya" kerana mempersekutukan Allah dalam niat amal ; satu mempersekutukan dalam memperoleh pahala dan syurga dan satu lagi mempersekutukan Allah dengan diri sendiri dalam melakukuan Ibadah. Dan yang terakhir memandang bahawa dirinya sudah ikhlas. Kerana memandang diri sudah ikhlas itupun termasuk belum sejahtera ikhlasnya.
Kesemua peringkat awam ini termasuk 'syirik khafi' yakni syirik tersembunyi yang wajib dimujahadahkan untuk keluar daripadanya. Iaitu dengan cara menjalani Toriqat Sufiyyah dibawah bimbingan Shaikh yang Kamil yang mewarisi Ilmu Nabi Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam zahir dan batin. Shaikh ini adalah orang pilihan Allah yang telah sampai maqam ma'rifat yang sempurna yang mengetahui segala penyakit hati dan dapat mendidik serta memimpin manusia kepada ma'rifat akan Allah dengan izin Allah.
Ikhlas salikin.
Peringkat Ikhlas salikin dikaitkan dengan peringkat Tauhid yang dianugerahkan Allah Ta'ala kepada hamba tersebut dalam perjalanannya.
Pertama : Ikhlas salikin yang sampai maqam Tauhid Af'al.
kedua : Ikhlas salikin yang sampai maqam Tauhid Asma'
ketiga: Ikhlas salikin yang sampai maqam Tauhid Sifat.
Kita di sini cuma perhatikan yang pertama Ikhlas pada peringkat salikin. Iitu :
Ikhlas salikin di maqam Tauhid Af'al
Yakni Fana' (binasa) seluruh perbuatannya dinisbahkan kepada perbuatan Allah Ta'ala. Pada peringkat ini dia memandang dalam hati perbuatan Allah di seluruh alam maya ini. Dia dapat memandang (dalam hati) tidak ada yang diam dan bergerak melainkan semuanya perbuatan Allah. Makhluq tidak berkongsi kuasa sedikit pun dalam mengerakkan sesuatu.
Maka terasalah dirinya lemah dalam memperbuat sesuatu. Tidak dipandangnya amalnya, ibadahnya, kebajikannya melainkan semuanya perbuatan Allah. Tidak wujud af'al (perbuatannya) pada hakikatnya. Melainkan semuanya perbuatan Allah. Maka jadilah dia ikhlas, sejahtera daripada syirik khafi. Dan sah ibadah dan amalnya.
PERINGATAN PENTING:
1) PERINGKAT INI TIDAK BOLEH DI AQAL ATAU DIFIKIR-FIKIRKAN. SEBALIKNYA IA ADALAH PENGHAYATAN HATI YANG TELAH SEJAHTERA DARIPADA SEGALA KEKOTORAN DAN DOSA DAN DILIMPAHI NUR ALLAH TA'ALA. MAKA HENDAKLAH BERUSAHA DENGAN MUJAHADAH DIBAWAH BIMBINGAN SHAIKH.
2) ORANG YANG SAMPAI MAQAM INI WAJIB MEMELIHARA ADAB SYARI'AT; IAITU SETIAP PERBUATAN BAIK HENDAKLAH DINISBAHKAN KEPADA ALLAH TA'ALA DAN SETIAP KESILAPAN DAN KEKEJIAN DINISBAHKAN KEPADA DIRI SENDRI. MAKA HARAM DAN BERDOSA BESAR DAN BOLEH JATUH KUFUR ORANG YANG BERKATA ; SESEORANG MENJADI JAHAT KERANA ITU PERBUATAN ALLAH! ATAU MENGATAKAN DIA JADI PEROMPAK MISALNYA KERANA ITU PERBUATAN ALLAH! ATAU MENGATAKAN DIA JADI PEMIMPIN ZALIM KERANA ITU PERBUATAN ALLAH!
SIAPA-SIAPA MELAFAZKAN DEMIKIAN MAKA JATUH ZINDIQ - KAFIR SECARA TIDAK DISEDARI. KERANA TAUHID AF'AL ADALAH PANDANGAN DAN PEGANGAN HATI.
Maka aku memberi amaran demikian kerana beberapa banyak orang yang menjalani Toriqah Sufiyyah menjadi sesat dan jatuh zindiq kerana ghairah ingin cepat sampai maqam Rabbaniyyah dan ghairah melafazkan kata-kata berupa hakikat yang sepatutnya menjadi perdirian hati.
Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
"Sayri'at tanpa hakikat hampa, Hakikat tanpa syar'iat batal"
Berkata Imam Malik Radhiallahu 'Anh :
"Siapa2 yang beramal fiqh tanpa tasawwuf maka jadi fasiq dan siapa2 beramal tasawwuf tanpa fiqh maka jadi zindiq. Sesiapa yang menghimpun kedua-duanya itu yang sejahtera"
Maka perhatikan saudara-saudaraku, bukan mudah mencapai hakikat ikhlas ini. Tetapi tidak juga susah jika dikehendaki Allah demikian. Unsur yang paling penting niat awal kita disertai penyerahan kepada Allah Ta'ala secara mutlaq.
Semua peringkat kemudian itu (peringkat kedua dan ketiga dan peringkat wasilin) akan diperolehi oleh seseorang salikin setelah dia melepasi peringkat pertama tadi dengan Rahmat Allah. Maka kita takkan bincangkan di sini.
JIka kita dapat anugerah ikhlas peringkat pertama salikin pun adalah satu Ni'mat Allah yang sangat besar yang tak dapat dinilai dengan wang ringgit dan harta seluruh dunia ini. Kerana hanya amal yang disertai ikhlas diterima Allah Ta'ala.
Firman Allah :
Yunus [10:105] Serta (diwajibkan kepadaku): Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik.
Al-Hajj [22:31] (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).
Sebagaimana saya memaparkan kisah Imam Ghazali Radhiallahu 'Anh sebelum ini yang tidak dapat ikhlas waupun sudah memiliki Ilmu syari'at yang banyak dan sudah dapat gelaran Hujjatul Islam kerana ketika itu beliau belum menjalani Toriqah Sufiyyah. Setelah menjalani Toriqah Sufiyyah dibawah bimbingan Shaikh dengan Rahmat Allah Ta'ala barulah beliau mendapat pembukaan ma'rifat yang banyak sehingga menjadi ikhlas dan khusyu'.
Mudah-mudahan Allah Ta'ala anugerahkan kita ikhlas dan khusyu' menyerah diri kepadaNya zahir dan batin.
Berpegang teguhlah dengan 'Tali' Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan