Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada mengabaikan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya” (Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 16). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mengabaikannya (yakni meninggalkannya). Dan Ia telah menetapkan beberapa hudud (batasan), maka janganlah kamu melampauinya. Dan Ia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarinya. Dan Ia juga telah diam dari beberapa perkara sebagai kelonggaran bagi kamu bukan kerana lupa, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya”. (Riwayat Imam Daruqutni dan lain-lainnya dari Abi Tha’labah Jurthum bin Nasyir al-Khusyani r.a.. Riyadhus Salihin, Imam an-Nawawi, bab al-Manthuraat Wa al-Mulah)
Dosa yang dilakukan manusia terbahagi kepada dua bentuk;
Pertama; Dosa dengan Allah; iaitu dosa antara hamba dengan Allah. Dosa ini ada dua jenis pula;
a) Dosa kerana meninggalkan kewajipan-kewajipan yang diwajibkan Allah ke atas kita seperti dosa meninggalkan solat, puasa, zakat dan sebagainya.
b) Dosa kerana mengerjakan perkara yang dilarang atau ditegah Allah seperti dosa minum arak, makan riba dan sebagainya.
Kedua; Dosa dengan makhluk; iaitu yang bersangkutan dengan hak-hak hamba Allah. Dosa dari kategori ini ada beberapa jenis pula;
a) Yang berkait dengan jiwa seperti dosa membunuh, mencederakan dan sebagainya.
b) Yang berkait dengan harta seperti dosa mencuri, merompak, merampas dan sebagai.
c) Yang berkait dengan kehormatan/harga diri seperti dosa mencerca, mengumpat, menuduh dengan tuduhan palsu dan sebagainya.
d) Yang berkait dengan agama seperti dosa mengkafirkan seseorang, membid’ahkannya, menyesatkannya dan sebagainya.
(Ihya’ Ulumiddin, jil. 4, hlm. 16 dan Minhajul ‘Abidin, Imam al-Ghazali, hlm. 11)
Kesan dosa kepada hati
Dosa akan memudaratkan hati. Bermula dengan merosakkan hati hingga lah kemuncaknya iaitu mematikan hati. Ini dapat kita fahami dari hadis yang telah kita kemukakan tadi dan kita ulangi semula di sini, iaitu sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika melakukan suatu dosa, akan muncullah satu titik hitam dalam hatinya. Jika ia menanggalkan dosa itu, kemudian beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya melitupi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran (الران) yang disebut Allah dalam firmanNya;
“Sebenarnya (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya), bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dengan sebab (perbuatan kufur dan dosa) yang mereka lakukan”. (al-Muthaffifin: 14)
(Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)
Akibat dosa kepada kehidupan
Selain merosakkan hati, dosa juga akan memberi kesan kepada kehidupan secara keseluruhannya. Menurut Imam Ibnul-Qayyim; “Perbuatan dosa dan maksiat akan melahirkan beberapa kesan kepada diri dan kehidupan manusia iaitu;
1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Al-Fawaid, al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziah, hlm. 67.)
Melihat kepada kesan-kesan dosa di atas, marilah kita berazam untuk menjauhi dosa supaya hati kita sentiasa bersih dan hidup kita sentiasa selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan