“Puasa tak hari nih?” Tanya si A kepada rakannya si B
“Puasaa…” Jawab si B panjang dan disusuli dengan pertanyaan balas
“Ko puasa tak?”
“Err.. puasa aku terbatallah.. tadi dalam kereta boleh pulak lalat termasuk kat hidung aku. Rongga terbuka tu kan.. terpaksalaa aku korbankan puasa aku hari ni..” panjang lebar jawapan si A
Sebab lalat seekor puasa boleh terbatal?. Betul ke? Andaikata ada yang bertanya pada kita tentang permasalahan-permasalahan sebegini mudahkah kita nak memberi jawapan? Sejujurnya walaupun ibadah puasa ini kita telah lakukan setiap tahun tetapi masih ada permasalahan-permasalahan kecil yang agak sukar kita berikan jawapan secara spontan kerana takut tersilap memberi hukum.
Dibawah ini disediakan sedikit bingkisan yang dipetik dari Majalah Al-Islam keluaran Ogos berkenaaan Hukum-hukum berkaitan puasa hasil rujukan dari kitab Ahkam al-Siyam. Moga kita sama-sama dapat manfaat dari maklumat ini.
1. Menggunakan titisan Eye Mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi.
2. Suntikan melalui dubur membatalkan puasa kerana ia merupakan ruang yang terbuka.
3. Suntikan melalui urat pula tidak membatalkan puasa. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh lujnah Al-Azhar 1948, apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan rongga yang terbuka tidak membatalkan puasa.
4. Puasa tidak batal jika agas, lalat atau debu jalan masuk ke dalam rongga kerana umum balwa (sukar untuk mengelakkannya)
5. Air kumur atau yang dimasukkan ke dalam hidung ketika berwuduk sampai ke dalam rongga tidak membatalkan puasa sekiranya perbuatan tersebut dilakukan secara tidak berlebih-lebihan.
6. Puasa seseorang yang makan atau minum kerana dipaksa tidak batal disebabkan kemahuannya terhalang ketika itu.
7. Muntah yang disengajakan membatalkan puasa.
8. Seseorang yang termuntah tidaklah batal puasanya berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah daripada Abi Daud dan al-Tirmizi. ( Maksud hadis tak disediakan )
9. Bersetubuh boleh membatalkan puasa sekiranya terlupa. Tetapi tidak batal seperti yang dikiaskan kepada makan dan minum. ( Aku pening sikit yang ni..)
10. Mani yang keluar dengan tidak disengajakan tidak membatalkan puasa.
11. Mani yang keluar secara sengaja seperti bercumbu batal puasanya. Begitu juga dengan cara istimna’ (onani).
12. Mahruh secara tahrim bercumbu dalam bulan Ramadhan dengan isteri pada siang hari bagi orang yang shahwatnya bergelora sama ada lelaki atau perempuan. Ini pendapat mazhab Hanafi dan Shafie. Walaupun begitu, Ibn Munzir berkata: telah memberi rukhsah (pada bercumbu) oleh Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, Aisyah, Sya;bi, al-Hassan, Ahmad dan Ishak.
13. Mengambil pil penahan haid kerana ingin berpuasa penuh pada bulan Ramadhan dibolehkan tetapi afdhal jangan mengambilnya kerana kekal mengikut takdir Allah swt terhadap wanita. Ini pendapat Syeikh Uthaimin. Pendapat ini juga sama seperti pendapat Dr Yusuf al-Qardhawi yang berkata: “ Pada pendapat saya sebaik-baiknya wanita itu mengikut kejadian semual jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabii dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daripada Allah. Sekiranya wanita mengambil ubat untuk melewatkan haid agar ia tidak datang pada bulan Ramadhan, hukumnya tidak mengapa dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat orang alim dan pakar, atau nasihat doctor mengenai ubat itu.
14. Menggunakan ubat gigi pada siang hari pada bulan Ramadhan dibolehkan tetapi afdhal ditinggalkan kerana dibimbangi rasanya sampai ke dalam perut. Ini pendapat Syeikh Uthaimin.
15. Orang yang sakit buah pinggang yang dinasihatkan berbuka oleh pakar boleh berbuka dan tidak perlu qada’ sebaliknya memberi makan kepada fakir miskin setiap hari puasa yang ditinggalkan dengan kadar secupak. Tetapi sekiranya penyakitnya hilang atau sembuh, hendaklah diqada’kannya seperti fatwa Ibn Jabrin.
16. Hukum menggunakan inhaler pada siang hari pada penyakit astma dibolehkan kerana gas tersebut tidak sampai ke dalam perut tetapi sekadar untuk pernafasan. Ini pendapat Syeikh Hushaimi dan Syiekh Ibn Jabrin.
17. Menelan balgram atau sejenis kahak bagi yang tua dan sukar untuk meludahnya adalah sah puasanya seperti fatwa al-Syarbasi.
18. Menggunakan oksigen buatan bagi angkasawan tidaklah membatalkan puasa seperti fatwa syeikh al-Syarbasi.
19. Merokok membatalkan puasa seperti pendapat jumhur ulama. Inilah pendapat Syeikh al-Syarbasi. Mengikut pendapat Syeikh Husanain Mahluf dalam Fatwa Syari’iyah serta dikenakan kaffarah mengikut pendapat yang sah. Inilah yang dinukilkan daripada al-Alamah Ibn Abidin dan juga al-Alamah al-Syarambalali dalam kitabnya Imdad al-Fattah.
...dari Blog Nuaeman...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan