السلام عليکم

Isnin, 10 Januari 2011

BATAL @ TIDAK WUDUK APABILA MENYENTUH ISTERI?

MUKADDIMAH
Perkara WUDUK ini adalah merupakan perkara yang amat penting kerana ia melibatkan ibadah Solat yang WAJIB. Jika wuduk sesorang itu terbatal, maka dikhuatiri solatnya juga adalah TIDAK SAH. Perkara ini termasuk Ilmu dalam Usul Fiqh (Fekah).

Dalam hal menyentuh isteri dalam keadaan berwuduk, apakah terbatal wuduk atau tidak wuduk suami ini telah menjadi KHILAF kepada ulama dan ia terbahagi kepada 3 pendapat golongan Ulama. Mereka masing-masing mengemukakan hujah berpandukan Dalil dan Nas dari Al-Quran dan Hadis serta Kias dan Logikal Akal:-
  1. Golongan Ulama yang pertama mengatakan BATAL bila menyentuh isteri berdasarkan firman Allah dalam Surah An-Nisa: Ayat 43 dan Al-Maidah: Ayat 6. Golongan ulama ini menolak beberapa hadis yang diriwayatkan Aisyah r.a. berhubung 4 insiden yang melibatkan Rasulullah Saw ketika dalam wuduk. INSIDEN 1 - Rasulullah Saw mengalihkan kaki Aisyah ketika Baginda Saw sedang bersolat. INSIDEN 2 - Aisyah menyentuh telapak kaki Rasulullah Saw dalam gelap ketika Baginda sedang sujud@duduk antara dua sujud. INSIDEN 3 - Rasulullah mengucup@mencium isteri sebelum solat dan INSIDEN 4 - Rasulullah Saw membawa bersama Umamah binti Abu Al-Ash di dalam solatnya.
  2. Golongan Ulama kedua pula mengatakan TIDAK BATAL menyentuh isteri atau wanita lain dalam apa keadaan sekali pun kecuali berlaku persetubuhan atau bertemu dua alat kelamin. Mereka juga menyandarkan pendapat kepada firman Allah yang sama Surah An-Nisa: Ayat 43 dan Al-Maidah: Ayat 6 yang mana mereka berselisih pendapat tentang makna 'bersentuh dengan perempuan' dalam ayat itu. Mereka juga kuat berpegang kepada Hadis Riwayat dalam INSIDEN 1 hingga 4 seperti di atas.
  3. Golongan Ulama ketiga pula berpendapat jika menyentuh isteri@wanita dengan rasa nafsu syahwat maka wuduknya adalah BATAL, tetapi jika menyentuh isteri atau wanita lain tanpa nafsu syahwat wuduknya TIDAK BATAL, contoihnya berlaku pelanggaran tubuh dengan tidak sengaja, tersentuh wanita dengan tidak sengaja atau cuba menyelamatkan seorang wanita dari bahaya atau perempuan itu yang menyentuh lelaki tanpa kita merelakannya, maka tidak batal wuduknya pada pendapat golongan ini.
PUNCA PUNCA PERSELISIHAN - KHILAF ULAMA
PUNCA PERTAMA - Kerana Ulama-Ulama ini memberi pengertian yang berbeza dalam ayat firman Allah surah An-Nisa:Ayat 43 dan Al-Maidah:Ayat 6. Dalam memberi pengertian kepada kedua-dua ayat ini (yang di BOLD kan di bawah), mereka menggunakan kaedah Hakikat (yang jelas nyata) dan Majaz (Simbolik).

Firman Allah Surah An-Nisa: Ayat 43
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.

Firman Allah Surah Al Maidah: ayat 6
Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan salat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai dengan siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai dengan kedua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayamumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.

Golongan Ulama Pertama memberi pengertian jelas dan nyata bahawa 'kamu telah menyentuh perempuan' dan 'menyentuh perempuan' dalam kedua-dua firman Allah di atas sebagai menyentiuh mereka dengan tangan atau tersentuh dengan tangan atau tersentuh kulit dengan kulit oleh bahagian anggota yang lain. Manakala golongan Ulama Kedua dan ketiga memberi pengertian sentuh itu sebagai bersetubuh.

Mari kita menyediliki ayat Allah dalam kedua-dua firman ini supaya kita boleh menetapkan hati untuk memilih yang mana satukah pandangan ulama yang kita ingin ikuti dan pegang sebagai prinsip ibadah kita. Dalam Surah An-Nisa, Allah menerangkankan beberapa larangan hadir ke Masjid atau Bersolat berpandukan perbuatan manusia selagi mereka belum memperbaharui wuduk:-
  1. Dalam keadaan Mabuk sehingga kamu hilang mabuk
  2. Dalam keadaan Junub (Hadas besar akibat persetubuhan) sehingga kamu mandi.
  3. Jika kamu sakit (yang tidak boleh kena air)
  4. Sedang bermusafir (dalam perjalanan)
  5. Buang air kecil atau besar
  6. Menyentuh perempuan
Semua Ulama sependapat dalam hukum terhadap perbuatan dari No.1 hingga No.5, manakala tidak sependapat terhadap makna dan pengertian dalam perbuatan No.6.

Jika kita perhatikan dengan teliti, kebanyakan firman Allah apabila melibatkan hukum, Allah TIDAK AKAN mengulangi satu perbuatan sehingga dua kali sebutan dalam satu ayat kerana ia akan mengelirukan manusia sedangkan kita tahu bahawa Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Tepat lagi Maha Tegas dalam menyatakan hukum. Ia mungkin diulang Allah tetapi tidak dalam ayat yang sama. Kalau kita perhatikan perbuatan di No.2 dan No.6 jelas menunjukan dua perbuatan manusia yang berbeza dan bukanlah sebagaimana pendapat golongan Ulama kedua dan Ketiga yang menyamakan perbuatan 'Menyentuh Perempuan' itu sebagai bersetubuh. Sedangkan Allah telah menyatakan tentang perbuatan itu melalui perbuatan No.2 'Dalam keadaaan Junub' yang membawa maksud setelah bersetubuh.

Jika mengambil pengertian 'menyentuh perempuan' itu dalam hakikatnya (pengertian yang jelas dan nyata) adalah bermaksud sentuhan tangan atau kulit seorang lelaki kepada seorang perempuan yang lain (ini adalah pendapat golongan Ulama pertama) dan bukan sebagaimana yang diyakini oleh Golongan Ulama kedua dan ketiga yang mentakwilkan perbuatan itu dengan kaedah Majaz yakni simbolik yang membawa pengertian bersetubuh.

Golongan Ulama pertama mewajibkan perbuatan di No.6 untuk mengambil atau memperbaharui Wuduk mereka kerana sentuhan di sini membawa makna sentuhan tangan atau kulit antara lelaki dan perempuan, ini bermakna apa sahaja bentuk sentuhan lelaki terhadap permpuan akan menyebabkan terbatalnya wuduk.  Sedangkan golongan Ulama kedua dan ketiga juga mewajibkan berwuduk tetapi dalam maksud lain iaitu bersetubuh. Pandangan mereka ini (golongan ulama kedua dan ketiga) itulah menyebabkan mereka yakin dan percaya bahawa sentuhan tangan dan kulit tidak membatalkan wuduk.

PUNCA KEDUA - Berpunca dari beberapa riwayat dari Aisyah r.a.
INSIDEN 1 - Rasulullah Saw mengalihkan kaki Aisyah ketika Baginda Saw sedang bersolat. INSIDEN 2 - Aisyah menyentuh telapak kaki Rasulullah Saw dalam gelap ketika Baginda sedang sujud@duduk antara dua sujud. INSIDEN 3 - Rasulullah mengucup@mencium isteri sebelum solat dan INSIDEN 4 - Rasulullah Saw membawa bersama Umamah binti Abu Al-Ash di dalam solatnya

Dalam semua insiden dari riwayat Aisyah r.a. ini kebanyakannya adalah tidak jelas dan dibimbangi ianya hadis daif (lemah). Contoh INSIDEN 1 - Rasulullah Saw mengalihkan kaki Aisyah ketika Baginda Saw sedang bersolat. Aisyah tidak menjelaskan samada dia berselimut atau beralas kain ketika Rasulullah Saw menyentuhnya itu.

Contoh INSIDEN 2 - Aisyah menyentuh telapak kaki Rasulullah Saw dalam gelap ketika Baginda sedang sujud@duduk antara dua sujud. Aisyah r.a. tidak menyatakan samada Rasulullah Saw ketika itu sedang sujud dalam solat atau sedang sujud sunat atau duduk berdoa.

Contoh INSIDEN 3 - Rasulullah mengucup@mencium isteri sebelum solat. Aisyah r.a juga tidak menyatakan keadaan sebenar dibahagian manakah Rasulullah Saw mencium isterinya itu dan apakah ia berlapik dengan pakaian atau niqab atau tidak. Apakah ciuman itu di atas kepada (rambut).

Contoh INSIDEN 4 - Rasulullah Saw membawa bersama Umamah binti Abu Al-Ash di dalam solatnya. Membawa Umamah tidak bermakna Rasulullah saw memegangnya. Lagipun Umamah adalah cucu Rasulullah saw dari anak perempuan Baginda Zainab. Menyentuhnya tidak membatalkan wuduk berdasarkan pandangan Ulama dalam kitab Al-Muhalla (1/335). Menguatkan lagi adalah Umamah ketika itu masih anak kecil, menyentuh anak perempuan yang masih kecil itu tidak terbatal wuduk juga berdasarkan pandangan Ulama dalam Al-Muhalla (1/337)

Apabila diperhatikan 2 punca perselisihan Ulama seperti di atas, jelaslah bahawa penafsiran bahasa melalui kaedah Hakikat dan Majaz telah menjadi faktor utama perselisihan selain dikusutkan lagi oleh Riwayat dari Aisyah r.a. yang telah banyak menyebabkan berlakunya perselisihan pendapat dikalangan ulama berhubung BATAL @ TIDAKnya wuduk kita.

Rasulullah pernah bersabda: "Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melhatnya dan apabila disuruh dia menurut (patuh) kepada perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah" (At-Thabrani)

Termasuk dalam 'menjaga hartamu ketika engkau tiada di rumah' adalah menjaga rahsia rumahtangga supaya tidak keluar kepada pengetahuan orang lain. Aisyah ra. adalah isteri Rasulullah Saw, dan sudah pastilah dia lebih maklum akan hal ini. Sudah pastilah apa jua yang berlaku antara dirinya dan Rasulullah Saw tidak akan diberitakan kepada sesiapapun jua diluar sana. Jika dia melakukan juga, bermakna derhakalah dia kepada Rasulullah saw.

Sehubungan dengan itu, mari kita melihat ayat Allah yang memerintahkan dan melarang para isteri Rasulullah saw berkahwin selepas kewafatan Baginda, apakah hikmah disebalik larangan Allah itu.

Firman Allah Surah Al Ahzab: Ayat 53: ...dan tidak (pula) mengahwini isteri-isteri Nabi (Rasulullah Saw) selama-lamanya sesudah dia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah.

Hikmahnya Allah melarang adalah supaya tidak beralih kemudi kepada suami baru yang akan berhak sepenuhnya ke atas para isteri Rasulullah Saw. Dikhuatiri suami-suami ini meminta supaya para isteri Rasulullah Saw menceritakan tentang rahsia kehidupan Rasulullah saw dan akhirnya melahirkan pelbagai riwayat dan hadis baru yang kesemuanya akan hanya mengelirukan umat. Selain itu, Allah melarang kerana TIADA lelaki yang lebih baik dari Rasulullah Saw untuk mereka gantikan sebagai suami.

Aisyah r.a. pernah acap kali mengecewakan hati Rasulullah saw bermula dengan kritikannya terhadap Khadijah yang ditutup Rasulullah Saw dengan bersabda "Barangsiapa yang mengasihi Khadijah, bererti dia juga mengasihi aku". Peristiwa pahit yang paling mengecewakan Rasulullah Saw adalah apabila Aisyah terdedah kepada fitnah bersama sufian ketika pulang dari satu peperangan. Walaupun Aisyah tidak bersalah dan hanya terfitnah, namun Rasulullah saw telah menjadi tidak keruan dan tidak aman dengan fitnah yang dilemparkan kepada Aisyah r.a dan keadaan itu berlarutan dalam tempoh yang agak lama juga.

Firman Allah Surah Al-Ahzab: Ayat 57: Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya (yakni melakukan perkara yang tidak disenangi Allah dan Rasul-Nya), Allah akan melaknatinya dunia dan akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan

Justeru itu, riwayat Aisyah r.a. berhubung apa yang berlaku dalam rumahnya (yang sepatutnya menjadi rahsianya dengan Rasulullah Saw) bukanlah kata-kata Rasulullah Saw (yang berupa sabda) dan ia bukanlah sepatutnya menjadi antara punca perselisihan Ulama dan Mahzab.

Perlu di ingat!!! Ulama-Ulama dan Imam-Imam Mahzab juga adalah manusia biasa seperti kita, mereka sendiri berselisih tentang sesuatu pendapat tetapi tidak sampai mereka menidakkan keislaman antara mereka. Yang mereka perselisihkan adalah perkara-perkara berkaitan hukum dan ibadah. Mereka diberi ilmu oleh Allah dan kita juga tidak terlepas untuk diberi ilmu oleh Allah tentang semua itu jika kita rajin memohon dan berdoa kepada-Nya. Adalah tidak mustahil untuk Allah memberi kefahaman dan ilmu yang lebih baik kepada kita dari ulama-ulama berkenaan. Cuma, hendaklah kita sandarkan ilmu yang dikurniakan Allah dengan  Al-Quran dan Hadis yang sahih (hadis yang diakui benar sahaja). Manakala kias dan logikal akal pula adalah pengimbang kepada ilmu yang kita perolehi itu.

KESIMPULAN
Terpulang kepada anda samada mahu mengikut pandangan Ulama dan berpegang kepada Mahzab mana sekalipun. Mereka semua adalah orang yang diberi ilmu oleh Allah. Kita hanya perlu melihat kepada dua situasi yakni yang mana satukah antara kedua fahaman ini lebih baik untuk kita pegang:-

JIKA BENAR ALLAH MEMBATALKAN APABILA MENYENTUH ISTERI & PEREMPUAN LAIN
Golongan yang berhati hati dari golongan Mahzab As-Syafie dan ulama-ulama yang menyokongnya seperti Imam Nawawi adalah terselamat kerana ibadah solat mereka adalah SAH. Manakala golongan yang (kedua dan ketiga) yang memandang ringan akan hal ini akan merugi kerana sepanjang hidup mereka bersama isteri solatnya TIDAK SAH disebabkan bersolat dalam keadaan wuduknya terbatal.

JIKA ALLAH TIDAK MEMBATALKAN WUDUK MENYENTUH ISTERI & PEREMPUAN LAIN
Golongan kedua dan ketiga termasuk golongan Mahzab As-Syafie SAH solat mereka. Perlu diingat pendekatan Mahzab As-Syafie yang begitu berhati-hati menjaga WUDUK itu dan mengelak dari sebarang sentuhan dengan isteri atau wanita lain bukanlah satu dosa atau perbuatan bidaah. Bagi golongan yang berpegang kepada Mahzab As-Syafie, perkara menyentuh isteri itu adalah perkara yang boleh dilakukan pada bila-bila masa diluar solat, jadi tidak timbul larangan menyentuh dalam wuduk itu menjadi beban kepada golongan yang berpegang kepada pendapat Mahzab As-Syafie ini.

'Fikir itu pelita hati, kajian dan penelitian itu tuntutan Rasulullah Saw' WALLAHUALAM

1 ulasan:

  1. bagaimana pulak wudhuk seorang ibu jika anak lelaki menyentuh ibunya

    BalasPadam

SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....