Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir  seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya.  Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala  perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala.  Termasuk di dalam Zikrullah;
1. Menuntut ilmu; untuk mendalami  al-Quran dan as-Sunnah, mengetahui perintah Allah, halal dan haram dan  segala ilmu-ilmu lain yang berkait dengan agama.
2. Solat
3. Puasa
4. Zakat
5. Haji
6. Bersedekah dan Infak Fi Sabilillah
8. Membaca al-Quran
9. Berdakwah; mengajak orang lain kepada Islam
10. Menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar
11. Menyampaikan ilmu
12. Berjihad
13. Berdoa
14. Berzikir
15. Berselawat
16. Mengambil wudhuk, mandi dan bersuci
17. Menghidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan; makan dan minum, berpakaian, bergaul, tidur dan sebagainya.
Kesimpulannya, Zikrullah ialah kita berada di dalam keadaan  sentiasa mengingati Allah. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna  hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap  masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia  ingat kepada Allah.
Faedah Zikrullah (mengingati Allah)
Orang yang sentiasa ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan menjaganya termasuk hatinya. Firman Allah;
“Maka   ingatlah kepadaKu nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah  kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. (al-Baqarah: 152)
Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berpesan;
احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
“Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
Zikrullah menguatkan hati dan menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram. Firman Allah;
“Ketahuilah bahawa dengan "zikrullah" itu, akan tenang tenteramlah hati-hati manusia”. (ar-Ra’du: 28)
Orang yang enggan berzikir (mengingati Allah) umpama orang  yang mati. Sekalipun jasadnya hidup tetapi hati dan rohaninya telah  mati. Sabda Rasulullah s.a.w.;
مَثَلُ الَّذي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذي لا يَذْكُرُهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan  seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir  sama seperti orang hidup dan orang mati”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari  Abu Musa al-Asy’ari r.a.)
Kerana pentingnya  mengingati Allah, maka al-Quran memperingatkan orang-orang beriman agar  janganlah kesibukan menguruskan urusan-urusan duniawi melalaikan mereka  dari Zikrullah. Firman Allah;
“Wahai orang-orang yang beriman!  Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak  kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan  demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”. (al-Munafiqun: 9)
Kesan zikrullah terhadap hati
Berkata Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah; “Peranan Zikrullah  bagi hati sama seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan jika ia  dikeluarkan dari air?”. Maksud beliau ialah; ikan akan mati jika  dikeluarkan dari air, maka begitu juga dengan hati; hati akan mati jika  ia tidak berada dalam zikrullah. Di dalam ungkapannya yang lain, beliau  berkata; “Hati amat memerlukan kepada Allah dari dua aspek; (Pertama)  dari aspek ibadah. (Kedua) dari aspek meminta pertolongan dan  bertawakkal…  (Dari aspek ibadah), hati manusia tidak akan menjadi baik,  tidak akan berjaya, tidak akan merasai nikmat  dan  ketenangan  melainkan dengan beribadah kepada Tuhannya, mengasihiNya  dan dengan  kembali ke pangkuanNya…”. (Risalah al-‘Ubudiyyah Fil-Islam)
Berkata Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah; “Hati hanya akan menjadi  baik dan elok apabila ia mengenali Tuhan dan PenciptaNya (yakni Allah),  mengetahui nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya dan  mengetahui hukum-hakam Allah. Begitu juga dengan ia mengutamakan  keredhaan Allah dan kecintaan kepadaNya serta menjauhi segala larangan  dan kemurkaanNya. Hati selamnya tidak akan sihat dan tidak akan hidup  melainkan dengan cara sedemikian..”. (Zadul-Ma’ad, 4/7).
Terbaik
BalasPadammantap
BalasPadamShare. Terima kasih
BalasPadamMantap UmDap👍-forever releven, hingga hari kiamat
BalasPadam