السلام عليکم

Rabu, 12 Ogos 2009

RENUNGAN : YA... HABIIBII SUBUH

Ya Habiibii Subuh

Air Mata Subuh Berlinang

Pada pagi itu, seperti biasa mana pagi-pagi yang lain aku menyambut seorang tetamu tetapku. “Assalamualaikum”, seru subuh.
“Wa'alaikumsalam”, sahutku.
Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat. “Tadi….”, kata subuh dengan sayu, “aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat pesinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satu pun tiada yang mahu menerimaku sebagai tetamu”. Dan air mata subuh pun berlinang.

Subuh Melirikkan Sebuah Senyuman

Subuh,usah pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu. “Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat dan menggiurkan. Hidangan yang paling ku sukai ialah buah Tahajud, puas kucari di bumi lain, tapi jarang kujumpai. Di situ aku meratah buah Tahajud dengan puas serta leka”. Dan subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud subuh. Maaf subuh, aku tidak menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada roti Siyam, cadangku pada subuh. Subuh menolak dengan hormat. “Roti Siyam itu adalah kepunyaan tuan”, kata subuh.

Adakah kau mahu manisan zikir? Rayuku pada subuh.
“Baiklah,ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas air mata tangisan”, pinta subuh. Aku agak sugul, bagaimana harus kuberitahu pada subuh yang air mata tangisan sudah hampir habis kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan? Namun,aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan air mata tersebut. Aku terkejut perigi itu hampir separuh penuhnya. Dan aku berdetik dalam hati, adakah ini tanda kemarau kan berakhir? Tanpa berlengah lagi kubawa air tersebut pada subuh, tetamu yang kusanjungi dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya,subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

Subuh Berjanji Akan Datang Lagi . Subuh, seruku, mahukan kau tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya, wahai subuh. Subuh tersenyum menandakan permintaanku tidak akan dipenuhi. “Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, seperti mana aku menguliti mimpimu”. Dan aku akur lagi dengan penjelasan subuh. Subuh, subuh, seruku lagi apabila melihat subuh bersiap untuk pergi. Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari? “InsyaAllah”, jawab subuh, “Bukankah aku kekasih yang kau rindui?” Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap. “Assalamualaikum”, seru subuh. Wa'alaikumsalam, jawabku kembali.

Dan mataku terus meniti langkah subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya subuh hilang daripada pandangan.

Sahabat seaqidah, marilah sama-sama kita memelihara solat yang telah difardhukan ke atas kita terutamanya solat Subuh. Antara solat yang paling payah untuk kita tepati apatah lagi untuk kita berjamaah. Takut Allah SWT golongkan kita bersama dengan orang-orang yang fasiq, nauzubillah! Perubahan bermula dari kita, kuatkan semangat dan mintalah bantuanNya.

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....