السلام عليکم

Ahad, 15 Ogos 2010

Mencari Malam LailatulQadar

Malam al-Qadr ialah tetamu yang dirindui dan dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam. Ia merupakan tetamu yang kehadirannya menjanjikan keampunan bagi dosa yang telah lalu dan gandaan pahala ibadat seumpama amalan seribu bulan iaitu bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan.

Sekurang-kurangnya terdapat dua pengertian Malam al-Qadr. Pengertian yang pertama merujuk kepada malam di mana al-Quran diturunkan. Allah s.w.t. berfirman, Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (al-Quran) itu pada Malam al-Qadr. (al-Qadr : 1).

Malam al-Qadr dalam pengertian ini terjadi pada bulan Ramadan dan hanya berlaku sekali sahaja. Allah berfirman, Bulan Ramadan adalah bulan yang padanya diturunkan al-Quran. (al-Baqarah: 185). Bagaimanapun para ulama masih berbeza pendapat tentang bilakah waktu ia berlaku. Sebahagian besar ulamak menyatakan Malam al-Qadr itu terjadi pada 17 Ramadan. Hal ini disandarkan kepada firman Allah, Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan. (al-Anfal: 41).

Maksud ‘hari pertemuan dua pasukan’ ialah ketika terjadinya Perang Badar, iaitu hari Jumaat, 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

Ibnu Abbas r.a. menjelaskan, “al-Quran yang diturunkan pada Malam al-Qadr pada bulan Ramadan (dari Lauh Mahfudz) ke langit dunia secara sekali gus; kemudian barulah diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi s.a.w.” (Riwayat al-Thabraniy).

Pengertian yang kedua pula merujuk kepada malam yang penuh keberkatan. Hal ini berdasarkan kepada firman-Nya, Sesungguhnya Aku telah menurunkannya al-Quran pada malam yang penuh keberkatan. (al-Dukhan: 3).

Malam al-Qadr dalam pengertian sebuah malam yang penuh keberkatan ini berlaku pada setiap bulan Ramadan. Pengertian ini didasarkan kepada hadis Rasulullah, Nabi s.a.w. ditanya tentang Malam al-Qadr, Lalu Baginda menjawab, “Malam al-Qadr ada pada setiap bulan Ramadan.” (Riwayat Abu Daud).


*Keutamaan Malam al-Qadr

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan tentang keutamaan Malam al-Qadr. Di antaranya ialah firman Allah yang maksudnya, Sesungguhnya Kami telah menurunkan-nya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (al-Qadr: 1- 5).

Sebenarnya hakikat bahawa Malam al-Qadr itu lebih baik dari 1,000 bulan sudah cukup menggambarkan tingginya kedudukan malam tersebut. Justeru itu, Malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau 83 tahun lebih.

Allah s.w.t. juga berfirman yang maksudnya, Sesungguhnya Kami menurunkan-nya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kamilah Yang Maha Mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Dukhan: 3-6).

Ayat di atas membuktikan bahawa ketentuan urusan kehidupan manusia diturunkan pada Malam al-Qadr. Hal ini sekali gus membatalkan kepercayaan sesetengah pihak bahawa ketentuan urusan kehidupan diturunkan pada malam Nisfu Syaaban.

Hadis-hadis Nabawi yang sahih serta menceritakan tentang keutamaan dan keberkatan Malam al-Qadr pula antaranya ialah:-

(a) Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya:- Barang siapa yang melaksanakan solat qiyamu Ramadan (solat terawih) pada Malam al-Qadr kerana keimanan dan kerana mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang telah lalu. (Riwayat Bukhari).

(b) Nabi s.a.w. bersabda, Apabila datang Malam al-Qadr, malaikat Jibril bersama para malaikat yang lain turun ke bumi untuk mendoakan setiap hamba yang berzikir dan berdoa kepada Allah, Allah menyatakan kepada para malaikat bahawa Allah akan memenuhi doanya. Allah berfirman, Pulanglah kamu semua, Aku telah mengampuni dosa kamu semua dan Aku telah menggantikan keburukan dengan kebaikan. Maka mereka pulang dan telah mendapat keampunan-Nya. (Riwayat al-Baihaqi dari Anas bin Malik).

Kedua-dua hadis itu menunjukkan bahawa sesiapa yang melaksanakan solat terawih, memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar, dengan hati yang ikhlas, dengan cara yang sesuai dengan tuntutan Rasulullah s.a.w. pada Malam al-Qadr, insya Allah dia akan mendapat keampunan-Nya. Inilah yang sentiasa menjadi harapan setiap mukmin.

Ustaz Sayyid Qutub r.a. menggambarkan suasana Malam al-Qadr secara puitis dalam tafsir Fi Zilal al-Quran, “Namanya Malam al-Qadr, yang kadang-kadang bermaksud takdir (ketentuan) atau tadbir (ketetapan), juga bermaksud nilai atau kedudukan.

Kedua-duanya sesuai dengan peristiwa alam yang agung itu. Peristiwa al-Quran, wahyu, dan risalah, tempat tidak terdapat peristiwa-peristiwa di dunia ini, yang lebih besar, lebih benar, dan lebih bererti daripadanya.

Malam yang lebih baik dari 1,000 bulan. Angka tidak bermaksud pembatasan, tetapi apa yang dimaksudkan ialah banyaknya nilai. Berapa ribu bulan dan tahun telah berlalu tanpa meninggalkan apa-apa kesan, tanpa perubahan, seperti yang ditinggalkan oleh satu malam yang penuh keberkatan dan kebahagiaan iaitu Malam al-Qadr.” (Fi Zilal al-Quran : J6 / 3944-3946).

*Waktu Berlakunya Malam al-Qadr

Disebut dalam pelbagai riwayat bahawa waktu terjadinya adalah tidak tetap dan berbeza-beza dari tahun ke tahun. Terdapat pelbagai pendapat dalam hal ini. Bagaimanapun tidak dinafikan bahawa pendapat yang paling benar dan kuat tentang waktu terjadinya Malam al-Qadr itu ialah pada salah satu malam terakhir bulan Ramadan. Ini berdasarkan hadis riwayat Aisyah r.a., Adalah Rasulullah s.a.w. beriktikaf di 10 hari terakhir bulan Ramadan dan Baginda bersabda, Carilah (dengan segala daya upaya) Malam al-Qadr pada malam-malam ganjil daripada 10 malam yang terakhir daripada bulan Ramadan. (Riwayat Bukhari no: 2017 J4/255 dan Muslim no. 1169).

Kata-kata Aisyah r.a. mengisyaratkan bahawa Malam al-Qadr itu adalah pada 10 hari terakhir, manakala anjuran Nabi s.a.w. itu pula menegaskan bahawa waktu terjadinya Malam al-Qadr itu ialah di salah satu malam ganjil 10 hari terakhir.

Rangkap pertama hadis tersebut (kata-kata Aisyah) bersifat umum, manakala rangkap yang kedua (sabda Nabi s.a.w.) adalah khusus. Dalam hal ini riwayat yang khusus adalah lebih diutamakan daripada yang umum.

Namun riwayat daripada Muawiyah bin Abi Sufyan dari Nabi s.a.w. tentang Malam al-Qadr seolah-olah mengkhususkan dan menetapkan bahawa berlakunya Malam al-Qadr ialah pada malam ke-27. Hal ini jelas daripada kata-kata Muawiyah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, Malam 27 . (Sahih Sunan Abi Daud).

Riwayat Muawiyah itu diperkuatkan oleh pendapat Ubay bin Ka‘ab dan Ibn ‘Abbas r.a. bahawa Malam al-Qadr adalah malam ke-27 Ramadan. Ubay bin Ka‘ab pernah bersumpah akan hal ini kerana alamat-alamat yang dia lihat.

Kita tidak menafikan bahawa Malam al-Qadr (seperti mana riwayat Muawiyah dan pendapat Ubay dan Ibn ‘Abbas) boleh berlaku pada 27 Ramadan akan tetapi ia tidak semestinya berlaku pada 27 Ramadan.

Sememangnya pendapat bahawa Malam al-Qadr jatuh pada 27 Ramadan sangat masyhur dalam kalangan sebahagian ulama Islam. Namun, kata al-Qardawi sebenarnya tidak ada yang meyakinkan dalam hal ini.

Wallahu'alam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....