السلام عليکم

Isnin, 24 Oktober 2011

Pandangan Islam Terhadap Muzik

Nyanyian yang lunak adalah santapan jiwa manusia, menyegarkan otak dan disukai oleh pendengaran. Ia adalah kelazatan bagi telinga sepertimana makanan yang menjadi kelazatan bagi mulut dan perut. Pemandangan yang indah menjadi kelazatan bagi mata, bauan yang harum menjadi kelazatan bagi hidung dan sebainya. Adakah perkara-perkara yang baik dan lazat ini haram bagi Islam?
Daripada beberapa dalil Qur’an, setiap benda yang baik lazimnya halal. Oleh itu setiap yang baik dipandang oleh jiwa dengan baik, akal manusia yang sejahtera adalah halal sebagai kerahmatan kepada umat Islam ini dan juga kerana kesyumulan, kelengkapan, dan keberkekalan risalah Islam.
Firman Allah (maksud):
“Mereka bertanya kepadamu:Apakah yang dihalalkan bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu yang lazat-lazat serta baik. “(Maaidah: 4)

Hak mutlak menghalal/mengharam sesuatu adalah milik Allah saja: (maksud):
“Katakanlah: Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfa’at kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanyaharam dan sebahagian lagi halal?Katakanlah lagi (kpd mereka):Adakah Allah mengizinkan kepada kamu hanya mengada-ngadakan secara dusta terhadap Allah?” (Yunus:59)

Firman Allah (maksud):
“Sesungguhnya merugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan lagi tidak berilmu (sedang Allah memberi rezki kepada sekelian makhluk); dan rugilah (mereka) yang mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.” (al An’am: 140)

Firman Allah (maksud):
Dan kehidupan dunia ini hanyalah LAHWUN dan permainan belaka..” (Ankabut: 64)
Rasulullah s.a.w. pernah menasihati Handzalah, Wahai Handzalah, bergurau ada masanya dan serius ada masanya. Saidina Ali ada menasihatkan: Rehatkan hatimu dari masa ke semasa kerana hati jika dipaksa akan menjadi buta. Juga dari Ali KW:Hati juga merasa jemu sepertimana juga badan merasa jemu, maka carilah perkara-perkara yang menarik untuk menghiburkannya. Telah berkata Abu Darda’: Aku menghiburkan diriku dengan sedikit al Lahwu untuk menguatkan diriku dalam melakukan perkara-perkara kebaikan.

KATA IMAM AL GHAZALI:

Apabila diajukan kepada Imam alGhazali apakah nyanyian termasuk al Lahwu? Beliau berkata: Ya begitulah sebenarnya. Sesungguhnya seluruh dunia adalah al lahwu dan permainan dan semua guarauan bersama isteri adalah al lahwu melainkan jima’ yang bertujuan melahirkan zuriat. Begitu juga setiap gurauan yang tidak mengandungi kejahatan dan kemaksiatan, maka ia adalah halal. Sebab itulah ada waktu-waktunya makruh mengerjakan solat nawafil (sunat) untuk memberi kerihatan kepada orang yang sering melakukannya. Kerihatan sebenarnya menolong utk terus beramal. Sedikit dalam al lahwu dapat menolong seseorang dalam situasi tegang oleh kerana kita tidak akan mampu untuk sentiasa dalam keadaan serius dan kepahitan sepanjang masa kecuali jiwa para Anbiya’.

Maka al lahwu (berhibur seketika) adalah ubat juga bagi jiwa. Maka allahwu sudah semestinya Harus. Tapi al lahwu seperti mana ubat-ubatan yang lain ia tidak boleh diambil secara berlebihan.
Jika al lahwu disertai dengan niat ibadah, ia menjadi ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang mendengar nyanyian dan muzikal janganlah menganggapnya sebagai sifat terpuji! Tapi hanya sekadar mendapatkan kelazatan dan kerihatan semata-mata.

Manusia mempunyai tingkatan: perkara-perkara yang harus kepada golongan martabat ABRAR (golongan yang baik) adalah kejahatan kepada golongan muqarrabin ( mereka yang sangat hampir dengan Allah) dan seterusnya.

Oleh itu kita mesti mengambil hukum ‘am/pada kadar yang biasa. Bagi yang mengetahui selok belok cara untuk mengubat hati, cara untuk melembutkan hati dan mendorongnya kepada kebenaran, secara pasti dia juga akan tahu bahawa merihatkan hati dengan perkara-perkara begini (lahwun dan la’ibun) adalah ubat yang berguna yang mesti digunakan (al Ghazali).

Nyanyian adalah Harus (dibolehkan) tapi dalam Acuan Islam . Muzik adalah termasuk dalam perkara tabi’iy (asasi) di sisi fitrah manusia. Ia juga termasuk bab Urf (adat resam sesuatu bangsa); ada bangsa yang amat suka kepada muzik dan nyanyian; Islam tidak menghalang sesuatu yang selari dengan fitrah dan diterima oleh urf (adat) atau cara hidup budaya setempat. (Prof Qardhawi, halal ; haram , juga Fatwa Mu’asirat) Bermain gambus dan nyanyian oleh hamba sahaya sudah diamalkan sejak zaman Ali bin Talib dan tiada yang menegahnya..

Malangnya industri musik seperti juga bidang-bidang lain, ia diterajui oleh Barat yang mempunyai muslihat yang jahat terhadap Islam terutama remajanya. Apabila industri muzik; nyanyian itu diterajui oleh Barat, maka umat Islam perlulah berhati-hati, unsur-unsur yang diketengahkan oleh mereka adalah bertujuan melalaikan manusia, menjatuhkan mereka kepada maksiat dan menjurus kepada manusia meninggalkan kehidupan beragama. Industri muzik Barat juga memperkenalkan pelbagai jenis muzik yang melampau seperti heavy metal, rap, rock, super dance dan lain-lain yang bertentangan dengan fitrah. Ini bertentangan dengan hiburan dalam Islam yang bertujuan memberi sedikit kerehatan kepada jiwa manusia.

Oleh itu rumusannya industri musik dan nyanyian yang harus ialah yang sesuai dengan fitrah manusia, menghibur dan memberi ketenangan kepada jiwa dan mematuhi adab-adab Islam ; ini menuntut kesedaran Islam yang tinggi dari pemuzik dan pencipta lagu Muslim supaya membentuk arahalir industri musik yang tersendiri dan terpisah drpd pengaruh jahat Barat. Sebarang percubaan Barat untuk menghanyutkan umat Islam kepada kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan, mestilah dihalang, menetapi kaedah Masoleh Mursalah (kepentingan awam), Sadd Adz Dhara’iy (menutup pintu-pintu kejahatan) dan Istiqra’ (pungutan suara rakyat) juga Urf (adat budaya tempatan).

PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP MUZIK

Ulamak yang paling berautoriti dalam hukum-hukum yang baru utk abad ini ialah al marhum Syaikh Mahmud Syaltut, bekas rektor al Azhar dalam koleksi Fatwanya, alFatawa (terbitan Darul syuruq, Cairo. 1960) ms 355-359 menjelaskan dengan tegas empat perkara tentang muzik:

Pertama:
Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama (hukumnya) dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui adalah semuanya keseronokan naluri yang dianugrahkan Tuhan kepada manusia. Semuanya memberi kesan menenangkan fikiran apabila kepenatan jasmani dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga. (Syaikh Syaltut menggunakan hujah Imam alGhazali dalam Ihya Ulumiddin, Jld 2, pg 208.)

Kedua:
AlQur’an yang mendasari segala peraturan dan perundangan di atas dasar kesempurnaan dalam Tujuan sentiasa menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan dipihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang menggunakan muzik secara berlebihan. Islam mahukan kesederhanaan.

Ketiga:
Fuqaha’ terdahulu membenarkan musik apabila mempunyai konteks yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, hajji, perkahwinan, perayaan id. Mengikut fuqaha’ Hanafi muzik yang dilarang ialah dengan bersyarat jika ia bercampur dengan sebutan alkohol, gadis penyanyi, fusuq, perzinaan dan keberhalaan. Aku (Syaltut) berpendapat larangan terhadap muzik adalah berdasarkan kpd konteks dan iringannya dengan yang lain dan bukanlah suatu reaksi terhadap muzik itu sendiri.

Keempat:
Syaltut memberi amaran bahawa sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah al A’raf: 32-33. siapakah yang berani mengharamkan perhiasan drpd Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan rezki yang baik-baik?….. hingga akhir.

Kesimpulannnya:
secara ‘amnya muzik dibenarkan, jika ada larangan terhadapnya adalah kemalangan atau pengecualian disebabkan perlaku penyalahgunaan terhadap muzik itu sendiri.
Hukum mengenai muzik, pemuzik dan alat muzik mengikut Hujjatul Islam alGhazali (Ihya’ Ulumidin, vol 2, pg 283-301) menjelaskan ada tiga komponen penting yang mempengaruhi hukum muzik yang mungkin berubah dari masa kesemasa: zaman, makan dan ikhwan. ‘Zaman’ merujuk kepada masa, apakah muzik itu melalaikan daripada jihad dan ibadah. ‘Makan’ merujuk kepada suasana, situasi, occasion atau upacara di mana muzik itu dipersembahkan. ‘Ikhwan’: merujuk kepada aktiviti muzik itu; jika dengan muzik itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada manusia yang jahat atau membawa kepada kejatuhan moral.
Menurut al Ghazali inilah tiga komponen yang menjadi neraca bagi muslim di setiap zaman menghukum muzik: zaman, makan dan ikhwan.

Berbalik kepada soalan asal:
Apakah alat muzik yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam Islam?
Al Ghazali menjelaskan (Ihya’ Ulumiddin, vol2, pg 271-272): tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah yang melarang alat-alat muzik bahkan setengah alat muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, ia tidak lebih daripada seperti kemerduan suara burung. Ianya dilarang jika ada hubungan atau dikaitkan dengan kumpulan peminum arak, homoseks dan lain-lain yang diarang.
Menurut Prof Lamya’ alfaruqui hukum hudud Islam jika seseorang didapati mencuri alat muzik ini berbedza-bedza mengikut madzhab. Misalnya menurut Syaikh Ibn Abu Zaid al Qairawan, Bakhurah alSa’ad menjelaskan pencuri alat muzik tidak boleh dipotong tangannya. Imam Syafi’iy dalam al Umm menjelaskan seseorang yang didapati bersalah memecahkan peralatan muzik tidak boleh dihukum. Manakala menurut sebahagian ulamak sesiapa yang memecahkan seruling atau sebarang alat muzik, ia layak dkenakan hukuman kerana menjual peralatan muzik itu sah di sisi undang-undang Islam.

Kesimpulan dan tarjih:
  1. Menurut Fatwa Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat
  2. Menurut al Ghazali, tidak ada perincian syara’ tentang peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kpd zaman(masa), makan(tempat), dan ikhwan(aktiviti muzik); mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang jelik dan dihubungkan dengan kumpulan manusia yang jahat akhlaknya adalah ditegah.
  3. Hukum muzik, pemuzik dan peralatan muzik akan sentiasa berubah mengikut keadaan umat dan ulamak semasa.
wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Rahsia Wudhu Untuk Kesihatan



Seperti yang kita tahu syarat mendirikan solat ialah mengambil wudhuk .Tentu tidak sah jika kita mengerjakan solat lima waktu tetapi meninggalkan wudhu'.


Pernahkah kita terfikir dengan perintah Allah SWT dengan perbuatan yang nampak remeh ini. Kenapa tidak?? Kenapa tangan bersama dengan air menyentuh anggota-anggota tubuh. Kenapa wajah yang dibasuh? Kenapa mesti telinga?

Banyak rahsia dalam kandungan wudhu' yang hanya Allah Maha Mengetahui namun antara rahsia wudhu' yang dapat diungkapkan ialah:

Setiap perintah Allah SWT tentu memiliki hikmah kebaikan disebaliknya. Lima pancaindera kenapa semua tanpa terkecuali disapu oleh air wudhu'. Mata, hidung, telinga & seluruh kulit tubuh. Ini betul-betul luar biasa.

Ahli saraf/ neurologist pun telah membuktikan dengan air wudhu' yang menyejukkan hujung-hujung urat syaraf jari-jari tangan dan jari-jari kaki berguna untuk menenangkan fikiran.Anda tentu pernah mendengar akupunktur kan? Cuba cari tahu dimana saja letak titik-titik sensitif yang sering digunakan dalam ilmu akupunktur? Lalu kemudian amati rukun wudhu'. InsyaAllah kita akan menemui persamaan antara keduanya.

Pada anggota badan yang terkena semasa berwudhu' terdapat ratusan titik akupunktur yang merupakan titik penerima ransangan terhadap sentuhan berupa basuhan, gosokan, usapan, dan tekanan/urutan ketika melakukan wudhu'. Sentuhan tersebut akan dihantarkan ibarat signal ke sel, jaringan, organ dan sistem organ yang bersifat terapi. Ini terjadi kerana adanya sistem komunikasi iaitu sistem saraf dan hormon bekerja untuk mengadakan homeostasis (keseimbangan). Titik-titik akupunktur, suatu fenomena yang menarik bila dibandingkan dengan syariat wudhu yang disyari'atkan 15 abad yang lalu.

Jumlah Titik Akupunktur Pada Anggota Wudhu'(rukun dan sunat)

Muka 84
Tangan 95
Kepala 64
Telinga 125
Kaki 125
Jumlah keseluruhan = 493!

Ternyata terdapat 493 titik penerima ransangan pada anggota wudhu'!!Subhanallah!! Bayangkan jika kita melakukan itu setiap hari paling sedikit 5 kali sehari...Kita tidak harus memandang ringan semasa menjalani wudhu. Mengapa? Cuba ingat semasa kita membasuh tapak kaki & tangan...apakah celah-celah jari sering kita abaikan? Ternyata ada fakta menarik yang ingin saya kongsikan:

Dari ilmu ahli akupuntur, di celah-celah jari terdapat 16 titik akupunktur yang mana titik-titik tersebut apabila dirangsang yang istmewa yang dapat mengubati migrain, sakit gigi, tangan-lengan merah, bengkak, dan jari kaku.

Berkenaan telinga pula, walau pun ia adalah amalan sunat, ia mengandungi 30 titik ransangan! Maka, semasa menyapu telinga itu jangan cuma membasuh saja, tapi harus dengan urutan lembut juga. 

Selepas ini sebaiknya kita tidak meninggalkan amalan sunat semasa berwuduhu' kerana setiapnya mempunyai titik penerima ransangan.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Aurat Lelaki

Apakah batasan aurat lelaki?

Batasan yang disepakati oleh ulamak ialah dua kemaluan iaitu depan (bahagian zakar) dan belakang (bahagian punggung). Wajib lelaki menutup dua bahagian tersebut dari diperlihatkan kepada orang lain. Adapun yang selain dari itu, maka para ulamak berbeza pandangan;

Pandangan pertama; aurat lelaki ialah kawasan di antara pusat dan lutut. Jadi berdasarkan pandangan ini, paha adalah aurat dan wajib ditutup. Dalil mereka hadis dari Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan; “Rasulullah duduk bersama kami sedang pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku;


“Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”. [Hadith Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Malik]

Pandangan pertama ini merupakan pandangan jumhur ulamak.

Pandangan kedua; aurat lelaki hanyalah dua kemaluannya sahaja iaitu depan dan belakang. Paha tidaklah aurat. Mereka berdalilkan beberapa hadis antaranya hadis Anas r.a. yang menceritakan;


“Pada hari peperangan Khaibar, terselak kain dari paha Nabi s.a.w. hingga aku dapat melihat putihnya paha baginda” [Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Imam Al-Bukhari]

Pandangan kedua ini adalah pandangan mazhab az-Zahiri dan sebahagian ulamak mazhab Maliki.

Menurut Imam al-Bukhari; hadis Anas di atas lebih kuat sanadnya, namun hadis Jarhad adalah lebih berhati-hati. Jadi sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat), lebih baik kita berpegang dengan pandangan jumhur kerana kita dapat lari dari khilaf dan keraguan.

Sabda Nabi s.a.w.; “Tinggallah yang meragukan kamu untuk berpindah kepada apa yang tidak meragukan kamu” [Hadith Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh]

Adakah pusat dan lutut termasuk aurat dan wajib ditutup?

Jumhur ulamak (merangkumi Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berpandangan; pusat dan lutut tidaklah aurat, namun wajib ditutup sebahagian darinya untuk menyempurnakan penutupan kawasan aurat di atas (yakni kawasan antara pusat dan lutut) kerana sesuatu yang tidak sempurna yang wajib kecuali dengannya maka ia turut menjadi wajib. Maksud wajib ditutup sebahagiannya ialah; menutup sebahagian pusat sebelah bawah dan sebahagian lutut sebelah atas.

Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; Pusat tidaklah aurat,akan tetapi lutut adalah aurat dan wajib ditutup.

Adakah harus seorang lelaki melihat aurat lelaki lain? Bagaimana pula dengan menyentuhnya?

Tidak harus. Tidak harus seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki lain dan menyentuhnya sekalipun tanpa syahwat kecuali ketika darurat. Adapun selain aurat, harus melihatnya dan harus menyentuhnya (dengan syarat tanpa syahwat). Setiap yang harus dilihat, maka harus disentuh kerana ia bukan aurat.

Sejauhmana seorang wanita harus melihat kepada lelaki dan menyentuh atau bersalaman dengannya?

1) Jika suaminya; harus ia melihat ke seluruh badan suaminya kerana tiada aurat antara suami isteri. Namun dimakruhkan melihat kemaluan. Begitu juga, harus ia bersalaman dan menyentuh suaminya tanpa sebarang had atau batasan.

2) Jika mahramnya; harus ia melihat kepadanya di kawasan bukan aurat (yakni kawasan selain antara pusat dan lutut). Dan harus ia bersalaman dan menyentuh mahramnya (di luar dari kawasan aurat) dengan syarat tanpa syahwat.

3) Jika bukan mahramnya (yakni lelaki ajnabi); harus ia melihat kepadanya di kawasan bukan aurat dengan syarat tidak menimbulkan fitnah dan tidak melihat dengan syahwat. Namun diharamkan bersalaman dengannya dan menyentuhnya sekalipun tanpa syahwat.

Kesimpulan; terhadap suami; harus ia melihat dan menyentuhnya tanpa sebarang batasan. Terhadap mahramnya; harus ia melihatnya dan menyentuhnya tetapi di luar dari kawasan aurat (iaitu kawasan antara pusat dan lutut).

Adapun terhadap lelaki ajnabi; harus ia melihatnya tetapi tidak harus menyentuhnya. Terhadap suami; harus ia melihat dan menyentuh dengan syahwat. Adapun lelaki lain (sama ada mahram atau ajnabi), tidak harus ia melihat dan menyentuhnya dengan syahwat.

Apa dalil keharusan wanita melihat kepada lelaki (jika tanpa syahwat)?

1. Terdapat hadis di dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim yang menceritakan; “Pada suatu hari raya beberapa lelaki Habsyah bermain di dalam masjid dengan lembing-lembing mereka. Nabi menyaksikan mereka. ‘Aisyah juga turut menyaksikan mereka dengan berdiri di belakang Nabi” [Hadith Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad]

Sekiranya wanita tidak harus melihat kepada lelaki ajnabi, sudah tentu Nabi akan menghalang ‘Aisyah memandang lelaki-lelaki Habsyah yang sedang bermain itu.

2. Jabir r.a. menceritakan; “Aku menghadiri majlis solat hari raya bersama Nabi s.a.w.. Baginda memulakan dengan menunaikan solat -sebelum menyampaikan khutbah- tanpa didahuli azan atau iqamah. Kemudian (setelah solat), baginda bangun dengan bersandar pada Bilal dan (menyampai khutbah) dengan menyuruh bertakwa kepada Allah dan mentaatinya serta memberi peringatan kepada mereka. Kemudian baginda pergi kepada kaum wanita –dengan diiringi oleh Bilal- dan menyampaikan pula peringatan kepada kaum wanita…” [Hadith Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan an-Nasai]

Kita perhatikan dalam hadis ini; Nabi s.a.w. mengajak Bilal bersamanya semasa menyampaikan peringatan di hadapan kaum wanita. Sudah tentu Bilal akan dilihat oleh kaum wanita. Jika wanita tidak harus secara mutlaknya melihat kepada lelaki ajnabi, sudah tentu Nabi tidak akan membawa Bilal bersamanya.

Apa dalil diharamkan wanita menyentuh lelaki ajnabi (sekalipun tanpa syahwat)?

1. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;


“Demi Allah, tidak pernah sekalipun tangan Nabi s.a.w. menyentuh tangan wanita semasa berbai’ah. Baginda tidak membai’ah mereka melainkan dengan ucapannya sahaja” [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim]

Sekiranya seorang wanita harus menyentuh seorang lelaki ajnabi sudah tentu Nabi akan membai’ah para wanita dengan berjabat tangan dengan mereka sebagaimana yang baginda lakukan dengan kaum lelaki.

2. Dari Ma’qal bin Yasar r.a.; bahawa Nabi s.a.w. bersabda;


“Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216

Benarkah ada ulamak yang mengharuskan wanita bersalaman dengan lelaki ajnabi jika lelaki itu telah tua?

Ya, iaitu ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Mereka berpandangan; harus seorang wanita berjabat tangan atau bersalaman dengan lelaki yang telah tua dengan syarat aman dari fitnah (yakni aman dari dorongan nafsu sama ada dari dirinya atau dari diri lelaki tua itu). Jika tidak aman dari fitnah, tidak harus bersalaman.

Namun menurut jumhur ulamak; haram wanita bersalaman dengan lelaki ajnabi sama ada ia muda atau tua, dengan syahwat atau tanpa syahwat.

Apa yang dimaksudkan dengan “syahwat” dalam ungkapan-ungkapan kita sebelum ini?

Iaitu keinginan hati kepada jimak atau bibit-bibit pendahulu kepadanya. Melihat dengan syahwat ialah melihat dengan merasai kelazatan/keseronokan atau hati dan fikiran terkesan dengan kecantikan perkara yang dilihat.

Apa yang dimaksudkan dengan “aman dari fitnah” dalam ungkapan-ungkapan kita tadi?

Iaitu dorongan nafsu dan keinginannya kepada jimak (zina) atau bibit-bibit pendahulu kepadanya.

Apakah batasan aurat lelaki di dalam solat?

Batasan aurat lelaki di dalam solat sama seperti di luar solat iaitu antara pusat dan lutut mengikut pandangan jumhur ulamak. Menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijmak ulamak. Tidak harus seseorang mengerjakan solat dalam keadaan telanjang sedangkan ia mempunyai pakaian untuk menutup aurat dan solatnya adalah batal.

Apakah hukum lelaki mengerjakan solat tanpa berbaju?

Terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. menyebutkan;


“Janganlah sesiapa dari kamu mengerjakan solat dengan satu pakaian sahaja di mana tidak ada di atas bahunya satu pakaian pun” [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.]

Menurut mazhab Hanbali dan Hanafi; tegahan hadis di atas menunjukkan kepada pengharaman. Jadi menurut pandangan ini; wajib ketika mengerjakan solat kita menutup atas badan kita dengan sebarang kain sekalipun nipis sekadar tidak menampakkan warna kulit.

Namun mazhab Syafi’ie dan Malik berpandangan; larangan dalam hadis di atas hanyalah larangan makruh sahaja, tidak haram. Jadi, mengikut pandangan ini; kita disunatkan memakai baju atau menutup bahagian atas badan kita ketika solat dan jika kita tidak melakukannya tidaklah sampai berdosa atau sampai membatalkan solat asalkan kita telah menutup aurat yang wajib (iaitu dari pusat ke lutut). Dalil pandangan kedua ini ialah; hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah harus sesiapa dari kami menunaikan solat dengan hanya satu pakaian sahaja?’. Jawab Nabi s.a.w.;


“Adakah kesemua kamu memiliki dua pakaian?”.
[Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim]

Hadis ini memberi pengertian; tidak semua orang memiliki dua pakaian. Jadi jika diwajibkannya sudah tentu akan menyukarkan orang yang tidak mampu untuk menunaikan solat. Berkata Imam an-Nawawi; hadis ini menunjukkan keharusan mengerjakan solat dengan memakai satu pakaian sahaja. Namun para ulamak sepakat bahawa; memakai dua pakaian adalah paling baik.
SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....