السلام عليکم

Selasa, 28 Jun 2011

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab

1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberapa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

wallahua’lam..

Isnin, 27 Jun 2011

CIRI CIRI SOLAT TIDAK DITERIMA

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak... juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya.” (Tabyinul Mahaarim)
Rasulullah S.A.W telah bersabda bahwa : “10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba’.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah.”


Hassan r.a berkata : “Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.”

Khamis, 23 Jun 2011

Dosa

Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada mengabaikan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya” (Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 16). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mengabaikannya (yakni meninggalkannya). Dan Ia telah menetapkan beberapa hudud (batasan), maka janganlah kamu melampauinya. Dan Ia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarinya. Dan Ia juga telah diam dari beberapa perkara sebagai kelonggaran bagi kamu bukan kerana lupa, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya”. (Riwayat Imam Daruqutni dan lain-lainnya dari Abi Tha’labah Jurthum bin Nasyir al-Khusyani r.a.. Riyadhus Salihin, Imam an-Nawawi, bab al-Manthuraat Wa al-Mulah)

Dosa yang dilakukan manusia terbahagi kepada dua bentuk;

Pertama; Dosa dengan Allah; iaitu dosa antara hamba dengan Allah. Dosa ini ada dua jenis pula;
a) Dosa kerana meninggalkan kewajipan-kewajipan yang diwajibkan Allah ke atas kita seperti dosa meninggalkan solat, puasa, zakat dan sebagainya.
b) Dosa kerana mengerjakan perkara yang dilarang atau ditegah Allah seperti dosa minum arak, makan riba dan sebagainya.

Kedua; Dosa dengan makhluk; iaitu yang bersangkutan dengan hak-hak hamba Allah. Dosa dari kategori ini ada beberapa jenis pula;
a) Yang berkait dengan jiwa seperti dosa membunuh, mencederakan dan sebagainya.
b) Yang berkait dengan harta seperti dosa mencuri, merompak, merampas dan sebagai.
c) Yang berkait dengan kehormatan/harga diri seperti dosa mencerca, mengumpat, menuduh dengan tuduhan palsu dan sebagainya.
d) Yang berkait dengan agama seperti dosa mengkafirkan seseorang, membid’ahkannya, menyesatkannya dan sebagainya.
(Ihya’ Ulumiddin, jil. 4, hlm. 16 dan Minhajul ‘Abidin, Imam al-Ghazali, hlm. 11)

Kesan dosa kepada hati

Dosa akan memudaratkan hati. Bermula dengan merosakkan hati hingga lah kemuncaknya iaitu mematikan hati. Ini dapat kita fahami dari hadis yang telah kita kemukakan tadi dan kita ulangi semula di sini, iaitu sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika melakukan suatu dosa, akan muncullah satu titik hitam dalam hatinya. Jika ia menanggalkan dosa itu, kemudian beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya melitupi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran (الران) yang disebut Allah dalam firmanNya;

“Sebenarnya (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya), bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dengan sebab (perbuatan kufur dan dosa) yang mereka lakukan”. (al-Muthaffifin: 14)
(Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

Akibat dosa kepada kehidupan

Selain merosakkan hati, dosa juga akan memberi kesan kepada kehidupan secara keseluruhannya. Menurut Imam Ibnul-Qayyim; “Perbuatan dosa dan maksiat akan melahirkan beberapa kesan kepada diri dan kehidupan manusia iaitu;
1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Al-Fawaid, al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziah, hlm. 67.)

Melihat kepada kesan-kesan dosa di atas, marilah kita berazam untuk menjauhi dosa supaya hati kita sentiasa bersih dan hidup kita sentiasa selamat.

Apa maksud Zikrullah?

Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Termasuk di dalam Zikrullah;
1. Menuntut ilmu; untuk mendalami al-Quran dan as-Sunnah, mengetahui perintah Allah, halal dan haram dan segala ilmu-ilmu lain yang berkait dengan agama.
2. Solat
3. Puasa
4. Zakat
5. Haji
6. Bersedekah dan Infak Fi Sabilillah
8. Membaca al-Quran
9. Berdakwah; mengajak orang lain kepada Islam
10. Menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar
11. Menyampaikan ilmu
12. Berjihad
13. Berdoa
14. Berzikir
15. Berselawat
16. Mengambil wudhuk, mandi dan bersuci
17. Menghidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan; makan dan minum, berpakaian, bergaul, tidur dan sebagainya.

Kesimpulannya, Zikrullah ialah kita berada di dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia ingat kepada Allah.

Faedah Zikrullah (mengingati Allah)

Orang yang sentiasa ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan menjaganya termasuk hatinya. Firman Allah;

“Maka ingatlah kepadaKu nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. (al-Baqarah: 152)

Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berpesan;

احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
“Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Zikrullah menguatkan hati dan menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram. Firman Allah;

“Ketahuilah bahawa dengan "zikrullah" itu, akan tenang tenteramlah hati-hati manusia”. (ar-Ra’du: 28)

Orang yang enggan berzikir (mengingati Allah) umpama orang yang mati. Sekalipun jasadnya hidup tetapi hati dan rohaninya telah mati. Sabda Rasulullah s.a.w.;

مَثَلُ الَّذي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذي لا يَذْكُرُهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir sama seperti orang hidup dan orang mati”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)

Kerana pentingnya mengingati Allah, maka al-Quran memperingatkan orang-orang beriman agar janganlah kesibukan menguruskan urusan-urusan duniawi melalaikan mereka dari Zikrullah. Firman Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”. (al-Munafiqun: 9)

Kesan zikrullah terhadap hati

Berkata Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah; “Peranan Zikrullah bagi hati sama seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan jika ia dikeluarkan dari air?”. Maksud beliau ialah; ikan akan mati jika dikeluarkan dari air, maka begitu juga dengan hati; hati akan mati jika ia tidak berada dalam zikrullah. Di dalam ungkapannya yang lain, beliau berkata; “Hati amat memerlukan kepada Allah dari dua aspek; (Pertama) dari aspek ibadah. (Kedua) dari aspek meminta pertolongan dan bertawakkal… (Dari aspek ibadah), hati manusia tidak akan menjadi baik, tidak akan berjaya, tidak akan merasai nikmat dan ketenangan melainkan dengan beribadah kepada Tuhannya, mengasihiNya dan dengan kembali ke pangkuanNya…”. (Risalah al-‘Ubudiyyah Fil-Islam)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah; “Hati hanya akan menjadi baik dan elok apabila ia mengenali Tuhan dan PenciptaNya (yakni Allah), mengetahui nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya dan mengetahui hukum-hakam Allah. Begitu juga dengan ia mengutamakan keredhaan Allah dan kecintaan kepadaNya serta menjauhi segala larangan dan kemurkaanNya. Hati selamnya tidak akan sihat dan tidak akan hidup melainkan dengan cara sedemikian..”. (Zadul-Ma’ad, 4/7).

ANAK KITA ; TANGGUNGJAWAB KITA

Anak kita; Tanggungjawab Kita

Sebelum anda terus membaca, cuba gambarkan wajah setiap seorang dari anak-anak anda. Kemudian anda tanyakan diri anda; Berapa orangkah dari mereka yang anda rasa dapat menyelamatkan anda di akhirat nanti? Berapa orangkah yang akan mendoakan anda apabila anda mati kelak? Berapa orangkah yang akan meminpin tangan anda untuk masuk ke syurga?

Anak-anak kita adalah simpanan berharga untuk kita di akhirat. Apabila tibanya saat kematian kita di mana segala pahala dari amalan kita terputus, merekalah yang dapat kita harapkan untuk menyambung pahala kita dan mendoakan kesejahteraan kita di alam kubur dan memohon keampunan Allah untuk kita. Sabda Rasulullah s.a.w.;

إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu:
Sedekah jariah
Ilmu yang diambil manfaat dengannya
Anak yang soleh yang mendoakan untuknya”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Setiap dari kita wajib menjaga dan mendidik anak-anak kita supaya menjadi anak yang soleh. Anak kita adalah tanggungjawab kita. Anak-anak bukan sekadar anugerah Allah kepada kita, tetapi yang lebih besar dari itu mereka merupakan amanah yang dipikulkan Allah ke atas bahu kita. Allah ingin menguji kita; adakah kita bersungguh-sungguh menjaga dan mendidik mereka atau tidak?

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisiNya pahala yang besar”. (al-Anfal: 27-28)

Di dalam al-Quran Allah memerintahkan kita agar memelihara diri kita dan juga ahli keluarga kita (yakni isteri dan anak-anak kita) dari api neraka. Allah berfirman;

“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…”. (at-Tahrim: 6)

Dalam menghuraikan maksud memelihara keluarga dari api neraka, Saidina Ali berkata; yakni “kamu didiklah mereka serta ajarlah mereka”. Berkata Imam Qatadah; ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)

Apa makna anak soleh?

Anak yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, Insya’Allah anak itu secara otomatik akan taat kepada ibu-bapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.

Bagaimana mendidik anak menjadi soleh?

Tidak ada cara mendidik anak yang paling baik dan paling berkesan melainkan dengan cara didikan Islam. Langkah pertama ke arah didikan anak yang sempurna ialah keazaman ibu-bapa itu sendiri untuk kembali menghayati Islam dan menghidupkan Biah Islamiyyah (yakni suasana keislaman) di dalam keluarga dan rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana keislaman yang dapat menghayati Islam dan seterusnya berjaya dibentuk menjadi anak yang soleh.

“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”. (al-Anfal: 24)

Seterusnya di bawah ini kita bentangkan perkara-perkara yang mesti kita lakukan untuk melahirkan anak-anak yang soleh;

1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah

Kita selalu mendengar ungkapan dari para ulama’ yang menyebutkan;

أَوَّلُ الدِّيْنِ مَعْرِفَةُ اللهِ
“Asas agama ialah mengenal Allah”.

Perkara pertama yang wajib kita ajarkan kepada anak-anak kita ialah kalimah Syahadah (لا إله إلا الله، محمد رسول الله). Mengajar kalimah Syahadah bukan hanya mengajar menutur atau mengucapkannya sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang hari ini, tetapi juga mengajar apa pengertian kalimah tersebut?, apa yang tuntut olehnya? dan apa perkara-perkara yang bertentangan dengan kalimah tersebut yang mesti dijauhi dari melakukannya?.

Kita perlu memberitahu anak-anak kita –dari semasa ke semasa- bahawa dengan mengucapkan kalimah tersebut mereka telah mengisytiharkan diri mereka beriman kepada Allah. Oleh demikian, mereka wajib mentaati Allah pada setiap ketika dan dalam setiap gerak-geri serta tingkah-laku mereka. Pada masa yang sama, mereka wajib menolak segala yang bertentangan dengan kehendak Allah sama ada yang berupa agama (yang lain dari Islam), fahaman, ideologi, budaya, gaya hidup, tingkah-laku, peraturan, undang-undang dan sebagainya. Inilah tuntutan kalimah Syahadah yang dapat kita fahami dari firman Allah:

“Dan sesiapa mengingkari taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang dengan simpulan yang teguh, yang tidak akan putus selama-lamanya. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”. (al-Baqarah: 256)

Menurut Imam Sa’id bin Jubair dan Imam ad-Dhahhak; yang dimaksudkan dengan ‘simpulan yang teguh’ (العروة الوثقى) dalam ayat di atas ialah kalimah “لا إله إلا الله”. Adapun thagut, maknanya ialah ‘segala yang menyesatkan manusia’ sama ada Iblis, Syaitan dan sebagainya.

2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain
Rasulullah s.a.w. sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat anak-anak kita, di mana baginda bersabda;

مُرُوْا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاْءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاْءُ عَشْرِ سِنِيْنَ
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah berumur sepuluh tahun”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari Abdullah bin Amru r.a.)

Solat adalah tiang agama. Menunaikan solat beerti menegakkan agama dan meninggalkannya beerti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak kita. Di samping mendidik anak-anak kita agar sentiasa ingat kepada Allah, solat menjadi benteng kepada mereka dari keruntuhan ahklak dan gejala social. Ini melihat kepada kekuatan yang ada pada solat dalam mencegah manusia dari melakukan dosa dan munkar sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah sendiri;

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar”. (al-Ankabut: 45)

Adalah mustahil jika kita hendak mengekori anak-anak kita ke mana saja mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja mereka berada. Namun jika kita berjaya mendidik anak kita dengan solat sehingga solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat akan membenteng mereka dari melakukan kejahatan dan maksiat.

Selain dari solat, kita juga wajib mengasuh mereka menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain seperti puasa, zakat, haji dan sebagainya.

3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita?

Menuntut ilmu agama diwajibkan oleh Allah ke atas setiap orang Islam sama ada lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Menuntut ilmu (agama) adalah fardhu ke atas setiap orang Islam”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan at-Thabrani dari Anas r.a. dan al-Hasan bin Ali r.a.)

Bagi anak-anak, tanggungjawab mengajar ilmu agama kepada mereka asalnya adalah kewajipan ibu-bapa. Namun jika ibu-bapa tidak mampu mengajar sendiri anak-anak mereka, mereka wajib mencari seorang guru/ustaz yang dapat mengajar anak-anak mereka segala hal yang wajib diketahui tentang agama merangkumi;
a) Ilmu aqidah
b) Ilmu Ibadah
c) Ilmu halal dan haram (dalam makanan, percakapan, tindakan, pergaulan dan sebagainya)
d) Ilmu tentang hati dan rohani
e) Ilmu tentang kewajipan sebagai seorang muslim
f) Ilmu untuk membaca al-Quran
g) Ilmu tentang adab-adab sebagai seorang muslim

Kita melihat hari ini ramai ibu-bapa mengabaikan pengajian ilmu agama kepada anak-anak mereka. Mereka lebih menekankan ilmu-ilmu duniawi seperti sains, matematik dan sebagainya. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak bagi memastikan anak-anak mereka lulus dengan cemerlang dalam ilmu-ilmu tersebut. Namun ilmu agama mereka abaikan. Mereka tidak pernah risau anak-anak mereka jahil tentang agama asalkan pandai ilmu-ilmu lainnya. Kerana itu tidak hairanlah jika kita dapati hari ini ramai anak-anak orang Islam yang semakin liar dari agama; meninggalkan solat, tidak tahu membaca al-Quran, tidak menutup aurat dan mudah terjebak dengan maksiat dan munkar. Semua gejala ini puncanya tidak lain dari pengabaian terhadap didikan agama oleh ibu-bapa.

4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman)

Anak-anak memerlukan qudwah (yakni contoh/tauladan) untuk menjadi anak-anak yang soleh. Qudwah ini seharusnya bermula dari ibu-bapa dan juga suasana di rumah. Biah atau suasana di rumah mempunyai peranan yang besar dalam membentuk anak-anak. Oleh demikian, suasana keislaman di dalam rumah hendaklah dihidupkan. Pada masa yang sama, elakkanlah sebarang bentuk maksiat dan munkar dari rumah kita. Selain itu, menghidupkan sunah Nabi di dalam rumah juga memberi kesan besar dalam mewujudkan biah/suasasa keislaman di dalam rumah. Antara sunnah Nabi s.a.w. yang perlu kita praktikkan di rumah ialah;

a) Membaca al-Quran di rumah

Seboleh-bolehnya, ibu-bapa hendaklah menunjukkan minat mereka terhadap al-Quran dengan selalu membacanya di rumah di hadapan anak-anak mereka. Dalam satu hadis, Rasulullah mengibaratkan rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya umpama kubur-kubur. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فيه سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”. (Riwayat Imam Muslim)

Bagi ibu-bapa yang tidak berkesempatan membaca al-Quran di rumah atau tidak berkemampuan membacanya, maka sebagai alternatif lain untuk menghidupkan suasana al-Quran di rumah ialah dengan memutarkan kaset-kaset atau cd-cd al-Quran di dalam rumah pada setiap hari terutamanya di waktu pagi dan pada masa anak-anak berhimpun di rumah.

b) Mengerjakan solat-solat sunat di rumah

Sabda Rasulullah s.a.w.;

صَلُّوْا أَيُّهَا النَّاسُ فِيْ بُيُوْتِكُمْ؛ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاةِ صَلاَةُ المَرْءِ فِيْ بَيْتِهِ إِلاَّ المَكْتُوْبَةَ
“Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda; “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur”. (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)

Antara solat sunat yang digalakkan untuk dikerjakan di rumah ialah solat dhuha, solat tahajjud, solat hajat, solat taubat, solat tasbih, solat witir, solat sunat yang mengiringi solat fardhu dan sebagainya. Ibu-bapa yang selalu mengerjakan solat-solat sunat di rumah akan memberi qudwah kepada anak-anak dalam menanamkan sikap suka beribadah dan meningkatkan kesedaran rohani mereka.

Lebih baik lagi jika anak-anak turut diajak bersama-sama mengerjakan ibadah-ibadah tersebut. Adalah harus –sebagai latihan- pada selang-selang waktu tertentu solat-solat sunat tersebut (khususnya solat malam atau qiyamullail) dilakukan secara berjamaah bersama ahli keluarga dengan diimankan sendiri oleh bapa sebagai ketua keluarga. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إذا أيْقَظَ الرَّجُلُ أَهْلَهُ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّيَا ـ أَوْ صَلَّى ـ رَكعَتينِ جَمِيعاً كُتِبَا في الذَّاكِرِينَ اللّه كَثِيراً وَالذَّاكِرَاتِ
“Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abi Said r.a.)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…”. (Riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.)

c) Hidupkan budaya memberi salam

Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya;

يا بُنَيَّ إذَا دَخَلْتَ على أهْلِكَ فَسَلِّمْ تَكُنْ بَرَكَةً عَلَيْكَ وعلى أهْلِ بَيْتِكَ
“Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.)

Memberi salam bermakna kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada orang yang kita ucapkan salam kepadanya. Apabila ibu-bapa mengucapkan salam kepada anak-anak mereka (tatkala baru sampai di rumah atau tatkala ingin keluar dari rumah atau ingin berpisah dengan mereka) maka ia telah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk mereka. Apabila mereka menjawabnya, maka mereka mendoakan pula keselamatan dan kesejahteraan untuk bapa atau ibu mereka. Fenomena saling doa-mendoakan ini pastinya akan mewujudkan suasana harmoni dan kasih-sayang di dalam keluarga.

Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda;

أفْشُوا السَّلامَ بَيْنَكُمْ
“Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.

Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka.

5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau

Dalam hal ini, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan;

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَاْدُ الْمَسَاْجِدَ فَاشْهِدُوْا لَهُ بِالإِْيْمَاْنِ
“Jika kamu lihat seorang lelaki selalu berulang-alik ke masjid, maka saksikanlah untuknya dengan iman (yakni akuilah bahawa ia sememangnya seorang yang benar beriman)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abi Sa’id r.a.)

Masjid adalah rumah Allah. Orang yang hatinya terikat dengan masjid menunjukkan bahawa jiwanya dekat dengan Allah. Alangkah bertuahnya kita jika anak-anak kita memiliki hati dan jiwa sedemikian. Oleh itu, perlulah kita berusaha bersungguh-sungguh mendekatkan anak-anak kita dengan masjid, atau sekurang-kurangnya surau atau mushalla. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menceritakan tujuh orang yang akan mendapat perlindungan Allah di akhirat, antara mereka ialah ‘seorang pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah dan seorang lelaki yang hatinya terikat dengan masjid’. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu hurairah r.a.)

6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita

Semangat jihad yang kita maksudkan ialah semangat cintakan agama dan kesedaran untuk berkorban demi agama. Ramai di kalangan kita menganggap anak-anak belum tiba masanya untuk didedahkan dengan semangat jihad kerana mereka masih kecil. Anggapan ini ternyata salah. Sebenarnya dari kecillah kita perlu tanamkan semangat jihad ke dalam diri anak-anak kita supaya mereka akan terbiasa dengan semangat ini sejak awal mereka mengenali dunia dan kehidupan lagi. Lebih-lebih lagi apa yang disemai ketika kecil akan melekat kukuh dalam jiwa manusia sebagaimana kata hikmah;

اَلتَّعْلِيْمُ فِي الصِّغَاْرِ كَالنَّقْشِ فِي الْحَجَرِ
‘Pengajaran semasa kecil umpama memahat di atas batu”.

Untuk menyemai semangat jihad dan perjuangan Islam ini, antara usaha yang perlu kita lakukan ialah dengan menceritakan kepada anak-anak kita –dari masa ke semasa- sejarah/sirah perjuangan Nabi kita Muhammad s.a.w. dan juga tokoh-tokoh pejuang Islam terdahulu terdiri dari para Nabi dan Rasul, para sahabat, para alim-ulama’, para Syuhada’ dan sebagainya.

Amat menyedihkan kita apabila melihat anak-anak umat Islam hari ini di mana mereka lebih mengenali artis-artis dan pelakon-pelakon dari mengenali para Nabi dan Rasul, tokoh-tokoh Islam, ulama’-ulama’ dan para pejuang Islam. Keadaan ini memerlukan usaha bersungguh-sungguh dari kita sebagai ibu-bapa untuk mengubahnya.

7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu

Antara perkara yang perlu kita tanamkan sungguh-sungguh ke dalam jiwa anak-anak kita dalam usaha kita mendidik mereka menjadi anak-anak yang soleh ialah sikap cintakan ilmu dan sukakan majlis-majlis ilmu. Dengan adanya semangat cintakan ilmu dan majlis ilmu akan timbullah keinginan dalam diri anak-anak kita untuk menuntut ilmu agama secara berterusan hingga ke akhir hayat mereka tanpa had umur atau batasan waktu.

Jika kita perhatikan majlis-majlis ilmu hari ini, boleh dikatakan keseluruhan yang hadir ialah golongan dewasa dan juga orang-orang tua. Di mana anak-anak atau kanak-kanak? Kenapa mereka tidak dibawa bersama oleh ibu-bapa mereka untuk sama-sama menuntut ilmu? Demi masa depan anak-anak kita, marilah kita ubah keadaan ini. Marilah kita bawa bersama anak-anak untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai taman syurga. Baginda bersabda;

إذا مَرَرْتُمْ بِرِياضِ الجَنَّةِ فارْتَعُوا. قالُوا: وَمَا رِياضُ الجَنَّةِ يا رَسُولَ اللّه قَاْلَ: مَجَاْلِسُ الْعِلْمِ
“Apabila kamu berjalan melalui taman syurga, maka singgahlah di situ”. Lalu sahabat bertanya; “Apa itu taman syurga, ya Rasulullah?”. Jawab Rasulullah; “Iaitulah majlis-majlis ilmu””. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.

Kita tidak boleh mengongkong anak-anak kita dari berkawan. Namun apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan anak-anak kita memilih kawan-kawan atau teman-teman yang baik supaya ia tidak terjebak ke dalam kejahatan dan maksiat kerana pengaruh kawan. Hal ini merupakan pesanan Rasulullah s.a.w. di mana baginda bersabda;

اَلْمَرْءُ عَلَى دِيْنِ خَلِيْلِهِ، فلْيَنْظُرِ امْرؤٌ مَنْ يُخَالِل
“Seseorang itu berada di atas agama temannya. Oleh itu, hendaklah setiap dari kamu memerhatikan dengan siapa ia berteman”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.)

Di dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kita agar pandai memilih kawan/teman kerana kawan boleh mempengaruhi pengamalan agama kita. Maka sebagai ibu atau bapa, pesanan yang sama perlu kita sampaikan kepada anak-anak kita kerana mereka adalah tanggungjawab kita.

9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh

Doa adalah senjata kita orang-orang beriman. Dengan doa kita boleh memohon apa sahaja hajat kita dari Allah. Malah Allah amat suka hamba-hambanya yang banyak berdoa dan bermohon dariNya. Salah satu perkara yang perlu selalu kita pohonkan dari Allah ialah anak-anak yang soleh. Seboleh-bolehnya setiap kali kita berdoa, kita tidak lupa berdoa agar kita sekelian dianugerahkan Allah anak-anak yang soleh. Antara bentuk doa memohon anak soleh ialah yang termaktub di dalam al-Quran iaitu;

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang soleh”. (as-Shaffat: 100)

Atau doa;

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami (anak-anak soleh yang menjadi) penyejuk mata-mata kami (apabila melihatnya) dan jadikanlah kami ikutan kepada orang-orang bertakwa”. (al-Furqan: 74)

Selain itu, kita juga perlu berdoa agar Allah memberi ilmu dan kefahaman agama kepada anak-anak kita. Antara doanya ialah;

اَللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
“Ya Allah, wahai Tuhan kami! Berilah kefahaman kepadanya dalam agama dan ajarkanlah kepadanya memahami al-Quran”.

Doa ini adalah doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk Ibnu ‘Abbas r.a.. Berkat doa baginda ini, Ibnu ‘Abbas telah muncul di kalangan sahabat sebagai seorang pentafsir al-Quran yang paling unggul sehingga Abdullah ibnu Mas’ud menyatakan; “Sebaik-baik pentafsir al-Quran ialah Ibnu ‘Abbas”.

10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita

Ibu-bapa hendaklah selalu memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak supaya sentiasa mentaati Allah dan menjaga perintah agama. Pesanan, teguran dan kata-kata nasihat dari ibu-bapa merupakan mutiara-mutiara berharga untuk anak-anak kerana ibu-bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak. Peranan ibu-bapa sebagai pemberi nasihat dan pesanan tidak terhenti setakat anak-anak masih kecil, tetapi berterusan hingga bila-bila sekalipun mereka telah dewasa. Di bawah ini kita kemukakan beberapa nasihat dan pesanan dari para nabi dan orang-orang soleh untuk anak-anak mereka sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan juga hadis Nabi s.a.w. untuk kita mencontohinya;

Pesanan Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya

Pesanan Nabi Ibrahim untuk anak-anaknya dapat kita dilihat dalam surah al-Baqarah, ayat 132;


“Ibrahim telah berpesan kepada anak-anaknya dengan agama itu (yakni Islam) dan (begitu juga) Yaakob (di mana mereka berkata kepada anak-anak mereka): ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim”. (al-Baqarah: 132)

Pesanan Nabi Yaakob untuk anak-anaknya

Allah menceritakan dalam surah al-Baqarah (ayat 133) bahawa Nabi Yaakob ketika hampir kematiannya ia telah berpesan kepada anak-anaknya supaya kekal menyembah Allah, tidak mengsyirikkannya.

“Adakah kamu menyaksikan ketika Yaakob hampir menemui kematian, ketika itu ia berkata kepada anak-anaknya; ‘Apakah yang kamu akan sembah selepas kematianku?’. Jawab mereka; ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapamu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan yang maha esa dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri”. (al-Baqarah: 133)

Pesanan Luqman al-Hakim

Pesanan Luqman kepada anaknya dibentangkan dengan panjang lebar oleh Allah di dalam surah Luqman. Pesanan Luqman ini amat baik jika kita jadikan pesanan yang diulang-ulang dari masa ke semasa untuk anak-anak kita. Antara yang dipesankan oleh Luqman kepada anaknya ialah;

“Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya semasa ia memberi nasihat kepada anaknya itu; ‘Wahai anak kesayanganku! Janganlah kamu mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu merupakan satu kezaliman yang besar”. (Luqman: 13)

“Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah dari kemungkaran, dan bersabarlah atas segala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang perlu diambil berat melakukannya”. (Luqman: 17).

Apa yang kita kemukakan ini hanyalah sebahagian kecil pesanan Luqman untuk anaknya. Untuk melihat pesanannya secara keseluruhan, sila rujuk surah Luqman (ayat 13 dan ayat-ayat seterusnya).

Pesanan Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; (Suatu hari) aku berada di belakang Nabi s.a.w.. Lalu baginda bersabda kepadaku; “Hai anak! Aku ingin mengajar kamu beberapa perkataan (iaitu); ‘Peliharalah Allah nescaya Ia akan pelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu akan mendapatinya di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu memohon pertolongan, pohonlah pertolongan dari Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya jika sekelian umat manusia berhimpun untuk memberi manfaat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan dengan suatu yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu. Dan jika mereka semua berhimpun untuk memberi mudarat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memudaratkan kamu melainkan dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah akan menimpa kamu. Telah diangkat pena dan telah kering lembaran-lembaran’”. (Riwayat Imam Tirmizi)

Wallahu a'lam
by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

AMALAN ORANG HIDUP UNTUK SI MATI

Soalan: Apakah si mati dapat mengambil manfaat dari amalan orang yang masih hidup untuknya?

Jawapan;

Dalam persoalan tersebut ada perkara yang disepakati oleh para ulama’ dan ada perkara yang tidak disepakati (yakni timbul khilaf).

Adapun perkara yang disepakati oleh para ulama’ ialah si mati akan mendapat manfaat dari doa, istighfar, sedekah dan ibadah-ibadah badaniyah-maliyah yang boleh menerima niyabah (gantian) seperti haji dan puasa. Amalan-amalan tersebut telah disepakati oleh para ulamak bahawa ia akan sampai dan akan memberi manfaat kepada si mati di alam barzakh. Dalil-dalil mereka ialah;

1. Firman Allah:

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu"”. (al-Haysr: 10)

Ayat di atas menceritakan tentang sikap orang-orang beriman yang datang kemudian selepas generasi sahabat iaitu mereka mendoakan keampunan untuk diri mereka dan juga orang-orang yang sebelum mereka. Ayat tersebut menjadi dalil bahawa memohon keampunan untuk orang yang telah mati akan memberi manfaat untuknya.

2. Doa Nabi s.a.w. kepada Abi Salamah r.a. ketika kematiannya sebagaimana yang diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a.:

“Rasulullah s.a.w. masuk kepada jenazah Abu Salamah (pada hari kematiannya) dan sesungguhnya matanya terbuka, lalu baginda memejamkannya (yakni baginda menutup kelopak matanya dengan tangan baginda). Kemudian Nabi bersabda: “Sesungguhnya ruh ketika dicabut, diperhatikan oleh mata (yakni ketika ruh ditarik keluar dari badan, mata melihat ke mana ruh pergi)”. Lalu beberapa orang dari keluarganya berpekikan. Maka Nabi bersabda: “Janganlah kamu menyeru kepada mayat-mayat kamu melainkan dengan suatu kebaikan kerana sesungguhnya para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan”. Kemudian Nabi s.a.w. berdoa:

اللَّهمَّ اغْفِرْ لأَبِي سَلَمَةَ، وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ، وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِينَ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ، وَنَوِّرْ لَهُ فِيهِ
“Ya Allah! Berilah keampunan kepada Abi Salamah. Angkatlah darjatnya di kalangan orang-orang yang diberi petunjuk. Jadilah penggantinya bagi anak-anaknya yang masih tinggal. Kurniakanlah keampunan untuk kami dan untuknya, wahai Tuhan sekelian alam. Lapangkanlah untuknya di dalam kuburnya dan terangilah untuknya di dalam kuburnya”.
(Riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas menjadi dalil bahawa doa orang hidup akan memberi manfaat kepada si mati sekalipun doa itu bukan datang dari anaknya.

3. Diriwayatkan dari Saidatina Aishah r.a. menceritakan: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.; ‘Sesungguhnya ibuku telah mati. Aku mendapatinya jika sekiranya ia berpeluang bercakap (ketika hampir matinya) nescaya ia akan bersedekah (yakni menyuruh agar dikeluarkan sedekah dari hartanya). Maka apakah baginya pahala jika aku bersedekah bagi pihaknya?’. Jawab baginda s.a.w.; ‘Ya’. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjadi dalil bahawa sedekah orang hidup memberi manfaat untuk si mati.

4. Diceritakan oleh Ibnu ‘Abbas r.a.; “Seorang perempuan datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata; “Sesungguhnya ibuku telah mati dan tertanggung di atasnya puasa sebulan”. Lalu baginda bersabda: “Apa pandangan kamu jika tertanggung di atas bahunya suatu hutang, apakah kamu akan membayarnya?’. Jawab perempuan itu: “Ya”. Jawab Nabi: “Maka hutang Allah lebih berhak dibayar”. (Riwayat Imam Muslim)

5. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Seorang perempuan dari Juhainah datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata: ‘Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, lalu ia mati sebelum sempat mengerjakannya. Apakah aku boleh mengerjakan untuknya?’. Jawab Nabi; ‘Tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah jika ibumu menanggung hutang kamu yang akan membayarnya? Tunaikanlah (hutang dengan Allah) kerana Allah lebih berhak (ditunaikan hutang dengannya)’. (Riwayat Imam Bukhari)

Adapun perkara yang diikhtilafkan di antara para ulama’ apakah ia akan sampai kepada si mati atau tidak ialah ibadah-ibadah yang bersifat badaniyah semata-mata seperti bacaan al-Quran, zikir dan sebagainya. Dalam hal ini terdapat dua pandangan;

Pertama: Pandangan jumhur ulamak yang terdiri dari ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Hanbali dan golongan mutaakhirin dari mazhab Syafi’ie dan mazhab Maliki dan juga Imam Ibnu Taimiyyah. Mereka berpandangan; bacaan al-Quran dan zikir yang dibaca oleh orang hidup kepada si mati adalah sampai kepadanya dan memberi manfaat untuknya.

Antara dalil mereka ialah hadis dari Abi Said Al-Khudri r.a yang menceritakan; “Beberapa orang sahabat Nabi telah keluar dalam satu perjalanan. Mereka berhenti di satu kawasan penempatan Arab dan minta jadi tetamu. Namun penduduk kawasan itu enggan untuk menerima mereka sebagai tetamu. Kebetulan ketua bagi penduduk kawasan itu disengat binatang. Mereka telah berusaha mengubatinya dengan pelbagai cara namun tidak berjaya. Lalu beberapa orang di kalangan penduduk itu mencadangkan; ‘Kalau kamu pergi kepada mereka itu (yakni kumpulan sahabat Nabi tadi) mungkin mereka mempunyai sesuatu untuk mengubati ketua kita’. Lalu mereka pergi kepada kumpulan sahabat tadi dan bertanya; ‘Wahai saudara sekelian! Ketua kami disengat binatang. Kami telah berusaha pelbagai cara namun tak berhasil. Adakah di antara kamu yang pandai mengubati?’. Jawab seorang sahabat; ‘Ya, aku boleh menjampi. Akan tetapi kami telah meminta dari kamu semua sebentar tadi untuk menjadi tetamu tetapi kamu sekelian enggan menerima kami. Jadi aku tidak akan menjampinya melainkan jika kamu sanggup memberi sesuatu kepada kami’. Mereka bersetuju untuk memberi hadiah dengan sebahagian daging kambing. Lalu sahabat itu merawati ketua kaum itu dengan menjampinya dengan membaca surah al-Fatihah. Berkat al-Fatihah itu, ketua kaum itu terus sembuh dan bingkas bangun seperti orang yang terlepas dari ikatan, seolah-olah tidak pernah sakit. Apabila sahabat-sahabat tadi ingin membahagikan daging kambing yang dihadiahkan kepada mereka, berkata sahabat yang menjampi tadi; ‘Jangan kita bahagikan lagi sehingga kita bertanya Nabi terlebih dahulu’. Apabila mereka menceritakan kepada Nabi s.a.w., baginda berkata; “Bagaimana kamu tahu bahawa ia (yakni surah al-Fatihah) adalah jampi?”. Baginda berkata lagi ; “Apa yang kamu lakukan itu adalah betul (sah / halal). Bahagikanlah daging itu dan jadikanlah dalam pembahagian itu satu bahagian untukku”. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, para ulama’ tersebut menyimpulkan; ‘Bacaan al-Quran jika diqasadkan untuk manfaat orang hidup (seperti untuk menyembuhkan penyakit dalam hadis di atas), maka surah itu memberi manfaat kepadanya dan diakui oleh Nabi dengan kata baginda; ‘Bagaimana kamu tahu bahawa ia (yakni surah al-Fatihah) adalah jampi?’, maka tidak ada sebab untuk kita menafikan manfaatnya untuk orang mati, malah ia lebih aula (utama)’. (Lihat; Al-Fiqhul-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Wahbah az-Zuhaili, jil. 2, hlm. 552).

Selain itu dikiaskan juga masalah ini kepada doa, istighfar, dan sedekah tadi yang disepakati oleh sekelian ulamak bahawa ia akan sampai kepada si mati dan memberi faedah untuknya. Jika doa, istighfar dan sedekah akan sampai kepada si mati maka tidak mustahil bahawa bacaan al-Quran, zikir dan tahlil juga akan sampai dan memberi manfaat kepadanya lebih-lebih lagi jika amalan-amalan tersebut disusuli dengan doa selepasnya. Ini sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ibnu as-Sholah; “Hendaklah bacaan al-Quran atau zikir itu diakhiri dengan ucapan:

اَللَّهُمَّ أَوْصِلْ ثَوَابَ مَا قَرَأْنَاهُ لِفُلاَنٍ
“Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang telah kami bacanya kepada si fulan…”.

Di mana dengan ucapan tersebut, kita menjadikannya sebagai doa untuk si mati dan telah dinyatakan tadi bahawa doa orang hidup bermanfaat untuk si mati. Hal ini telah dipersetujui oleh sekelian ulama’.

Selain itu bacaan al-Quran dan zikir yang dilakukan untuk si mati dapat juga kita anggap sebagai tawassul dari orang hidup kepada Allah untuk mendoakan kesejahteraan si mati di alam kuburnya. Terdapat nas dari al-Quran dan juga as-Sunnah membenarkan kita bertawassul dengan amal-amal soleh kita untuk memohon agar doa dan permohonan kita di makbulkan Allah.

Dalam soheh Imam al-Bukhari dan Muslim terdapat hadis di mana Rasulullah s.a.w. menceritakan kisah tiga orang pemuda yang terperangkap di dalam sebuah gua dan baginda tidak membantah perlakuan mereka yang berdoa dengan bertawassulkan amalan soleh sehinggalah Allah memakbulkan doa mereka dan menyelamatkan mereka dari kecelakaan. (Lihat hadis ini dalam Riyadhus-Salihin, bab al-Ikhlas).

Pandangan kedua: Padangan dari golongan awal (mutaqaddimin) dari ulamak-ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie. Mereka berpandangan; bacaan al-Quran dan zikir (serta semua ibadah-ibadah badaniyyah yang lain seperti sembahyang) tidak akan sampai kepada si mati. Pahalanya hanya untuk orang yang melakukannya sahaja, tidak akan sampai kepada si mati. Dalil mereka ialah firman Allah:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (an-Najm: 38)

Namun dijawab oleh ulamak-ulamak yang berpandangan pertama tadi; ayat di atas adalah umum dan keumumannya telah ditakhsiskan oleh hadis-hadis sahih yang menyebutkan tentang doa, istighfar dan sebagainya tadi yang sampai kepada si mati sekalipun bukan datang dari amalan atau usaha darinya. Ada ulamak berpendapat; ayat tersebut ditujukan untuk orang kafir iaitu balasan siksa terhadap mereka tidak lain adalah akibat dari usaha dan perbuatan mereka di dunia. (Lihat; At-Tajul-Jami’ Lil-Ushul Fi Ahadis ar-Rasul, Syeikh Manshur ‘Ali Nashif, jil. 1, hlm. 384, Subulus-Salam, Kitab al-Janaiz dan kitab al-Hajj)

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. At-Tajul-Jami’ Lil Ushul Fi Ahadis ar-Rasul, Syeikh Mansur Ali Nasif, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan (1992).
2. Subulus-Salam, (Kitab al-Janaiz dan kitab al-Hajj), Dar al-Furqan, Jordan.
3. AL-Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, Dar al-Fikr, Damsyiq-Syria (1985).

Selasa, 7 Jun 2011

Anjing Dan Bawaan Penyakit Dari Sudut Sains

Mengapa anjing diklasifikasikan sebagai najis Mugholazoh? Tentu ada hikmah di sebalik larangannya dan dibuktikan oleh sains?

Jawapan :

Ada perkara yang dapat dihidu oleh sains lalu dibuktikan. Ada juga yang tidak dapat dibuktikan. Kalaulah babi itu dikategorikan sebagai najis mughalazoh dan haram memakannya kerana banyak virus dan ada cacing pita - adakah mungkin di suatu hari nanti babi sudah mempunyai keimunan yang tinggi dan disuntik dengan vaksin bagi melawan kuman maka hukum berubah menjadi halal pula?

Mengenai perkara anjing ini :

Antara penyakit yang merbahaya ialah penyakit yang berasal dari telur benih sejenis cacing yang banyak didapati di dalam usus anjing, cacing disemai di setiap pelusuk melalui najisnya di rumah-rumah dan pada setiap tempat ia berulang-alik kepadanya (Kamus Perubatan oleh Laros Medical).

Penyakit tersebut boleh berpindah kepada manusia melalui sentuhan anjing kepada bekas makanan atau bekas air yang diminumnya, kerana hidung, mulut dan sekitarnya sebagai tempat membawa penyakit.

Jangkitan daripada anjing berlaku sewaktu sedang bermain-main dengannya tanpa berhati-hati untuk menjaga kulit dari air liurnya. Di India terdapat orang-orang yang mati disebabkan penyakit anjing dianggarkan lebih daripada 15 ribu orang setahun. Di Sri lanka 30 orang dari setiap juta orang dari jumlah penduduk. Di Filipina 12 dari setiap juta penduduk. (Dr al Saiyid Salman a Saqa dalam tulisannya "Air Liur Yang Membunuh" dalam majalah Manar al Islam Mac 1986).

Antara penyakit yang dibawa oleh anjing kepada manusia ialah penyakit kulit disebabkan kuman-kuman tersebut meresap ke kulir, ia menjadi kudis dan calar-calar di kulit. - Menurut Dr Hisyam Ibrahim al Khatib dalam bukunya "Kemudaratan Kesihatan Akibat Pemeliharaan Anjing".

Sumber : Mukjizat Ilmiah Dalam Islam (Sunnah Nabawiah) - Muhammad Kamel Abd Samad.

ALlah sahaja Yang Maha Tahu.
SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....