السلام عليکم

Rabu, 5 Ogos 2009

AGAMA DAN KETAWA

Agama dan Ketawa
dari Fatwa Muasyirah Dr Yusuf

Adakah harus seorang muslim itu ketawa, bergurau, gembira melakukan senda gurau serta lawak sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan yang dapat menjadikan orang lain ketawa?

Sesetengah orang berpendapat bahawa agama melarang ia ketawa, bergurau dan berlawak bahkan mewajibkan sentiasa berada dalam keadaan serius dan dalam setiap urusannya.

Pemahaman ini dikuatkan lagi dua perkara :

1: Pendirian ramai di kalangan mereka yang berpegang teguh dan bersemangat dengan agama yang sentiasa berkerut dahi, bermuka masam dan serius ketika bertemu, kasar dalam percakapan dan muamalah dengan orang ramai khasnya dengan orang yang pada pandangannya lemah pegangan agamanya.

2: Beberapa nas yang mereka baca atau dengar daripada sesetengah penceramah dan pendakwah yang difahami bahawa Islam tidak menggalakkan ketawa, gembira dan gurauan.

Antaranya hadis:

Maksudnya
"Janganlah kamu membanyakkan ketawa kerana ketawa yang banyak akan mematikan hati "

Maksudnya:
"Kecelakaan bagi orang yang mencipta percakapan untuk menjadikan manusia ketawa sedangkan dia berdusta. Celakalah dia, celakalah dia. "

Dalam satu hadis yang menyebut sifat Rasulullah (s.a.w):

Maksudnya:
"Rasulullah (s.a.w) sentiasa berdukacita."

Firman Allah melalui lisan kaum Qarun:
Maksudnya :
"Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu). " Al-Qasas: 76

Sepanjang pemahaman saya yang terhad tentang Islam, saya berpendapat bahawa kenyataan ini adalah suatu kezaliman kepada Islam yang menganjurkan umatnya agar sentiasa bersederhana dalam setiap perkara.

Harapan saya agar tuan dapat menerangkan pendirian Islam dalam masalah ini bersandarkan kepada dalil-dalil syarak Semoga dengan itu kita bersama mendapat manfaat.


Jawapan:

Ketawa adalah suatu keistimewaan yang ada pada manusia. Binatang tidak mempunyai sifat ini kerana ketawa timbul daripada pemahaman yang jelas daripada apa yang didengar atau keadaan yang dilihatnya.

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, manusia dikatakan sebagai haiwan yang boleh ketawa. Suatu kenyataan yang benar apabila seseorang berkata:

Aku ketawa, dengan itu aku adalah manusia.

Islam dengan sifatnya sebagai suatu agama fitrah, tentunya tidak akan menyanggahi tabiat asal manusia yang menyukai ketawa dan riang. Bahkan Islam memberikan galakan kepada setiap perkara yang dapat menjadikan hidup manusia gembira dan harmoni. Islam menggalakkan umatnya menjadi seorang yang optimis dan periang serta membenci orang yang bersikap putus asa dan pesimis dalam kehidupannya.

Ikutan muslimin dalam masalah ini ialah Rasulullah (s.a.w).

Walaupun baginda (s.a.w) menghadapi banyak masalah, baginda s.a.w tetap bergurau tetapi dengan perkara yang benar sahaja. Baginda (s.a.w) bersama para sahabatnya hidup dalam suasana yang sederhana dan tenang, bergaul dengan mereka di waktu ketawa, bermain dan bergurau bersama mereka sebagaimana baginda sentiasa bersama mereka ketika mereka menghadapi suasana keperitan dan kesusahan.

Zaid bin Thaabit berkata apabila dipinta menceritakan hal keadaan Rasulullah:

"Aku adalah jiran Rasulullah. Apabila datang baginda memanggilku untuk menulis wahyu tersebut. Apabila kami bercerita mengenai hal keduniaan, baginda akan bersama kami. Begitu juga apabila berbincang mengenai akhirat atau makanan, baginda akan bersama-sama kami.

Zaid berkata:
"Itulah yang aku dapat perkatakan tentang kehidupan Rasulullah (s.a.w). "2

Ada di kalangan para sahabat yang menyifatkan Rasulullah sebagai antara orang yang paling periang.3

Di rumah, baginda bergurau senda dan bermesra dengan
isteri-isteri baginda. Baginda mendengar cerita-cerita mereka
sepertimana yang disebutkan di dalam hadis Ummu Zar'ie yang
masyhur dalam Sahih Bukhari.

Rasulullah juga pernah berlumba lari dengan `Aisyah (r.a).
pada suatu ketika dan Aishah memenanginya. Selepas beberapa
ketika, baginda sekali lagi berlumba dengannya dan baginda
pula yang memenanginya. Lalu baginda berkata:

"Kemenangan ini sebagai balasan kemenangan kamu dulu."
Diriwayatkan bahawa baginda telah merangkak agar kedua cucunya
Hasan dan Husain (r.a). dapat menaiki belakang baginda dan
bermain-main di atasnya tanpa rasa radang ataupun marah. Salah
seorang sahabat telah datang bertemu baginda ketika itu dan
menyaksikan peristiwa tersebut lalu berkata:

"Sebaik-baik tunggangan ialah tunggangan kamu berdua."

Lalu baginda bersabda;

"Sebaik-baik penunggang ialah mereka berdua."

Baginda juga pernah bergurau dengan seorang perempuan tua yang
datang kepadanya seraya berkata:

"Wahai Rasulullah, tolong doakan agar aku dapat memasuki
syurga."

Lalu baginda berkata kepadanya:

"Wahai ibusi pulan, orang-orang tua tidak akan memasuki
syurga."

Perempuan tua itu menangis kerana dia memahami percakapan
Rasulullah berdasarkan kepada zahimya. Maka Rasulullah
menjelaskan kepadanya bahawa apabila seseorang memasuki
syurga, dia tidak akan memasukinya dalam keadaan tua tetapi
dalam keadaan muda dan cantik. Kemudian baginda membaca ayat
suci al-Quran:

Maksudnya:

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka
dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa
dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai
jodohnya serta sebaya umurnya. " Al-Waqi'ah: 35-374

Seorang lelaki telah datang meminta baginda menaikkannya ke
atas belakang seekor unta, lalu Rasulullah (s.a.w) bersabda:

Maksudnya:

"Aku akan naikkan kamu ke atas belakang anak unta. "

Lelaki itu hairan lalu berkata:

"Wahai Rasulullah apa yang aku dapat buat dengan anak unta?"

Baginda bersabda:

"Bukankah setup unta itu adalah anak unta? "5

Zaid bin Aslam telah berkata bahawa seorang perempuan yang
bernama Ummu Aiman telah datang bertemu Rasulullah (s.a.w).
lalu berkata:

"Suamiku menjemputmu ke rumah."

Baginda bertanya:

"Siapakah suamimu, apakah dia yang mempunyai putih di
matanya?"

Perempuan itu berkata:

"Di matanya tidak ada tanda putih."

Baginda menjawab:

"Bahkan dia mempunyai tanda putih di mata."

Perempuan itu berkata lagi:

"Demi Allah, dia tidak mempunyainya."

Lalu Rasulullah bersabda:

"Demi Allah, setiap manusia ada mempunyai tanda putih di
mata."6

Maksud baginda adalah bahagian mata putih yang mengelilingi
mata hitam.

Anas telah berkata:

"Abu Talhah mempunyai seorang anak yang bernama Abu `Umair.
Suatu ketika Rasulullah (s.a.w) datang menemui budak tersebut
lalu berkata:

"Wahai Abu `Umair, apakah yang sedang dibuat oleh anak burung?
(yang sedang berada ditangannya)."

Saidatina Aisyah (r.a). berkata:

"Rasulullah dan Saudah binti Zam'ah berada di sisiku. Aku
membuat Harirah (adunan tepung yang dimasak dengan susu
ataupun lemak binatang) lalu aku pergi kepada Saudah lalu aku
berkata:

"Makanlah."

Dia menjawab:

"Aku tidak suka makanan ini.

" Aku pun ambil sebahagian daripadanya lalu melumurya ke muka
Saudah. Rasulullah sedang berada antara keduanya. Baginda pun
menundukkan kepalanya agar Saudah dapat membalasnya lalu
Saudah pun mengambil sebahagian lagi lalu menyapu kemukaku.
Rasulullah pun mula ketawa."8

Diriwayatkan bahawa ad-Dhohhaak bin Sufyaan al-Kilaabi,
seorang yang bengis dan buruk rupa parasnya, semasa berbai'ah
dengan Rasulullah, beliau telah berkata:

"Wahai Rasulullah, aku mempunyai dua orang isteri yang lebih
cantik daripada al-Humairaa ini (iaitu `Aisyah-peristiwa ini
berlaku sebelum turunya ayat hijab), aku ingin menceraikan
salah seorang daripadanya supaya kamu dapat mengahwininya.

Pada masa itu `Aisyah berada di situ lalu berkata:

"Adakah dia lebih cantik atau kamu?"

Lalu ad-Dhohhaak berkata:

"Aku lebih cantik daripadanya dan lebih mulia."

Rasulullah pun ketawa disebabkan oleh soalan `Aisyah itu
kerana ad-Dhohhaak merupakan seorang yang hodoh rupa
parasnya.9

Rasulullah (s.a.w) suka menimbulkan perasaan gembira dan riang
dalam kehidupan manusia, lebih-lebih lagi kalau ada apa-apa
sempena seperti hari raya dan perkahwinan. Oleh kerana itulah
apabila Abu Bakar as-Siddiq menegah dua orang hamba peranpuan
yang sedang menyanyi di nunahnya pada hari raya, baginda
bersabda:

"Biarkanlah mereka wahai Abu Bakar, sesungguhnya hari ini
adalah hari raya."

Dalam riwayat lain baginda bersabda:

"Supaya orang Yahudi mengetahui bahawa di dalam agama kita ada
masa bergembira."

Baginda telah mengizinkan orang-orang Habsyah bermain tombak
mereka di dalam masjid Nabawi pada salah satu hari raya.
Baginda sendiri menggalakkan mereka dengan bersabda:

"Bermainlah wahai Bani Arfidah."

Baginda memberi peluang kepada `Aisyah melihat mereka
yang sedang bermain dan menari itu dari sebalik belakang
baginda tanpa memandang ada kesalahaan pada perbuatan
tersebut.

Baginda pernah menegur pada hari pertama pengantin perempuan
tinggal bersama suaminya dalam keadaan sepi, tidak ada hiburan
dan nyanyian seraya bersabda:

"Mengapa tidak ada hiburan? Sesungguhnya golongan Ansar
sukakan hiburan."

Dalam sesetengah riwayat disebut;

"Mengapa tidak diutuskan bersamanya orang yang menyanyi dan
berkata: Kami datang kepada kamu, kami datang kepada kamu...
Maka kamu mengucapkan selamat kepada kami dan kami mengucapkan
selamat kepada kamu."

Para sahabat (r.a) dan sesiapa yang mengikut jejak langkah
mereka yang baik dalam kurun-kurum umat yang terbaik, mereka
ketawa dan bergurau mengikut petunjuk dan ajaran Nabi mereka
(s.a.w).

Sehinggakan Umar bin al-Khattab (walaupun dikenali sebagai
seorang yang tegas dan bengis) diriwayatkan bahawa beliau
pernah bergurau dengan hamba perempuannya seraya berkata
kepadanya:

"Aku diciptakan oleh Pencipta kemuliaan dan kamu diciptakan
oleh Pencipta kehinaan."

Apabila beliau melihat hambanya bersedih disebabkan
kata-katanya tadi, beliau menjelaskan:

"Tidakkah Pencipta kemuliaan dan kehinaan ialah Allah
(s.w.t)?"

Sebahagian sahabat terkenal dengan suka bergurau dalam hayat
Rasulullah (s.a.w), tetapi baginda tidak melarangnya. Hal yang
demikian terus berlaku selepasnya dan diterima oleh para
sahabat.

Sesetengah peristiwa yang diriwayatkan itu, kalau berlaku hari
ini, akan ditentang hebat oleh sesetengah orang yang kuat
beragama dan mereka akan melemparkan tuduhan fasiq atau
menyeleweng kepada orang yang melakukannya.

Di antara sahabat yang terkenal dengan sifat periang, ketawa
dan suka bergurau ialah an-Nu'aimaan bin `Umar al-Ansaari
(r.a). Banyak peristiwa ganjil dan pelik diriwayatkan daripada
beliau.

Beliau juga disebut menghadiri Bai'ah al-'Aqabah terakhir,
perang Badar, Uhud, Khandak dan peperangan-peperangan yang
lain.

Az-Zubair bin Bakkaar telah meriwayatkan banyak cerita-cerita
lucu dan ganjil mengenai an-Nu'aimaan dalam kitabnya
"alFukaahah wal Manah", di antaranya ialah:

Beliau setiap kali memasuki mana-mana bahagian Madinah, beliau
akan membeli sesuatu, kemudian membawa barang tersebut kepada
Nabi (s.a.w) seraya berkata:

"Ini adalah hadiahku untuk kamu".

Apabila tuan punya barang tersebut datang kepada an Nu'aiman
menuntut bayaran harga, beliau mengajaknya menemui Nabi
(s.a.w) dan berkata kepada baginda (s.a.w):

"Berikan kepada orang ini harga barangnya."

Baginda bertanya:

"Tidakkah kamu telah menghadiahkannya kepadaku?"

Beliau menjawab:

"Demi Allah, aku tidak mempunyai wang untuk membayar harganya,
tetapi aku suka kamu memakannya."

Baginda lantas ketawa dan membayar harganya kepada tuannya.

Az-Zubair juga telah meriwayatkan daripada Rabii'ah bin
`Uthman, beliau berkata,

"Seorang badwi telah datang menemui Rasulullah (s.a.w) dan
menambat untanya di kawasan masjid lalu sebahagian daripada
kawan-kawan an-Nu'aimaan al-Ansari berkata kepadanya:

"Jika kamu menyembelihnya, kami akan memakan dagingnya.
Sesungguhnya kami amat berkeinginan untuk makan daging unta."

Maka dia pun menyembelihnya. Setelah itu badwi itupun keluar
dan terkejut melihat apa yang terjadi lalu menjerit:

"Oh... Mereka telah menyembelihnya wahai Muhammad!"

Rasulullah pun keluar lalu bertanya:

"Siapa yang melakukan perkara ini?"

Mereka menjawab:

"An-Nu'aimaan."

Rasulullah (s.a.w) mencari an-Nu'aimaan sehinggalah
menjumpainya di rumah Dhobaaghah binti az-Zubair bin Abdul
Mutalib bersembunyi di dalam lubang yang diletakkan pelepah
tamar di atasnya. Baginda (s.a.w) mengeluarkan an-Nu'aimaan
dan lantas bertanya:

"Apakah yang menyebabkan kamu melakukan perkara ini?"

Dia menjawab:

"Mereka yang memberitahu kamulah yang meminta aku berbuat
demikian".

Az-Zubair berkata:

"Rasulullah (s.a.w) mula menyapu tanah yang ada pada muka
an-Nu' aimaan sambil ketawa. Kemudian membayar ganti rugi
kepada badwi itu."

Az-Zubair berkata lagi:

"Bapa saudaraku telah menceritakan daripada datukku bahawa
Makhramah bin Naufal adalah seorang tua yang telah mencapai
usia 115 tahun. Suatu hari dia berkata di dalam masjid dan
ingin kencing di dalamnya. Para hadirin pun menjerit:

"Ini Masjid... masjid."

An-Nu'aimaan bin `Amru memimpin tangannya dan mendudukkannya
dibahagian masjid yang lain lalu berkata:

"Di sinilah".

Orang ramai menjerit lalu si tua itu berkata:


Celakalah kamu, siapa pula yang telah membawaku ketempat ini?

Lalu mereka berkata:

"An-Nu'aimaan."

Si tua itupun berkata:

"Demi Allah kalaulah aku menjumpainya aku akan memukulnya
dengan tongkat ku ini sehingga dia menjadi sepertiku."

An-Nu'aimaan kemudiannya diberitahu tentang kata-kata orang
tua itu.

Pada suatu hari, beliau datang kepada si tua tersebut dan di
sisinya `Uthman bin `Affaan sedang solat seraya berkata:

"Adakah kamu mahu melakukan apa-apa terhadap an-Nu'aimaan?"
(Dia tidak mengenali anNu'aimaan).

Beliau menjawab:

"Ya".

Lalu an-Nu'aimaan memimpin tangan si tua itu sehingga sampai
kepada `Uthmaan yang sedang bersembahyang dengan khusyuk.

Beliau berkata:

"Inilah dia anNu'aimaan".

Orang tua itu terus mengangkat tongkat dan memukul 'Uthman
sehingga luka. Orang ramai pun menjerit:

"Kamu telah memukul Amirul Mukminin."

Kemudian az-Zubair menyebut kisah rang seterusnya.10

Di antara peristiwa menarik dan lucu ialah apabila anNu'aimaan
terjerat dalam perangkap gurauan sahabatnya sendiri
sepertimana yang berlaku dalam kisah Suwaibit bin Harmalah
dengannya.

Suwaibit juga adalah di antara ahli Badar. Abdul Birr berkata
dalam kiitabnya `Istii'aab' bahawa Suwaibit adalah seorang
amat berlebihan dalam bergurau. Dia mempunyai suatu peristiwa
hg menarik bersama an-Nu'aimaan dan Abu Bakar.

Saya akan ceritakan di sini kerana ia amat menarik dan di
dalamnya ada ciri-ciri akhlak Islam yang mulia.

Ummu Salamah berkata:

"Abu Bakar telah pergi berniaga ke Basrah setahun sebelum
kewafatan Rasulullah (s.a.w) bersama anNu'aimaan dan Suwaibit
bin Hannalah. Kedua-duanya adalah di antara sahabat yang
menyertai perang Badar. An-Nu'aimaan berada di atas unta
pembawa bekalan makanan.

Suwaibit berkata:

"Berikanlah makanan kepadaku."

An-Nu'aimaan berkata:

"Tidak, sehinggalah datangnya Abu Bakar."

Suwaibit berkata:

"Demi Allah aku akan menjadikan kamu marah."

Kemudian mereka melalui suatu kaum lalu Suwaibit berkata:

"Adakah kamu ingin membeli seorang hamba abdi daripadaku?"

Mereka menjawab:
"Ya."

Suwaibit berkata:

"Sesungguhnya dia seorang hamba yang agak ganjil, dia akan
berkata kepadakamu bahawa dia seorang yang merdeka. Kalau kamu
mendengar dia berkata demikian janganlah kamu percayakannya
dan jangnlah kamu rosakkan hambaku ini."

Mereka berkata:

"Ya, kami akan membeli hambamu ini daripadamu."

Kata Suwaibit:

"Belilah dengan harga l O galaais."

Mereka pun membelinya dan meletakkan di tengkoknya serban atau
tali.

An-Nu'aimaan berkata:

"Orang ini telah memperdayakan kamu, aku adalah seorang yang
merdeka dan bukannya hamba."

Mereka berkata:

"Kami sudah maklum dengan hal kamu."

Mereka pun bertolak dan membawa anNu'aimaan bersama.

Apabila Abu Bakar datang, Suwaibit menceritakan kisah itu
kepadanya. Abu Bakar menjejaki mereka, memulangkan harga yang
dibayar dan membawa an-Nu'aimaan balik. Selepas mereka sampai
kepada Rasulullah, mereka menceritakannya kepada baginda lalu
Rasulullah dan para sahabat ketawa panjang.""

Pendirian Golongan Ekstrim.

Di sana ada ahli sastera dan pujangga Islam yang mengeji sifat
bergurau dan memberi amaran mengenai kesan buruk yang
dibawanya. Mereka memandang dari sudut bahaya dan mudarat
tanpa memandang dari sudut-sudut yang lain.

Sebahagian mereka berkata:

"Gurauan boleh mendatangkan kemarahan, menghilangkan kehebatan
dan memutuskan hubungan persaudaraan."

Dikatakan bahawa jika sekiranya percakapan dimulai dengan
gurauan maka ia akan berakhir dengan keji-mangeji dan
pertengkaran.

Al-Hajaaj bin al-Faryah apabila ditanya tentang bergurau,
beliau berkata:

"Mulanya gembira, akhirnya celaka. Ia merupakan kekurangan
orang yang bodoh seperti juga kekurangan penyair. Gurauan
tidak lain hanyalah benih yang akan menumbuhkan keburukan."

Umar bin Abdul Aziz berkata:

"Gurauan hanya datang daripada kebodohan dan kehinaan."

Dikatakan, "Gurauan akan menghilangkan kesungguhan dan
kehebatan diri. Yang menang padanya akan lemah dan yang kalah
akan memberontak."

Dikatakan:

"Awasilah daripada gurauan kerana akibatnya tidak terkira."

Tetapi...

apa yang datang daripada Rasulullah adalah lebih untuk
dijadikan ikutan. la mencerminkan perseimbangan dan
kesederhanaan.

Rasulullah telah berkata kepada Hanzolah yang bimbang
perubahan keadaannya yang berlaku ketika berada rumahnya
sehingga menuduh dirinya sendiri sebagai munafik, melalui
sabdanya:

"Wahai Hanzholah, kalaulah kamu berterusan dalam keadaan
sepertimana keadaan kamu ketika berada di sisiku, nescaya
malaikat akan bersalaman (tabik) denganmu dijalanan, tetapi
itu satu masa dan ini satu masa wahai Hanzholah. "

Inilah yang dinamakan fitrah dan keadilan

Ibnu Abu Syaibah meriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdur
Rahman, beliau berkata:

"Sahabat Rasulullah bukanlah sentiasa bengis dan serius.
Mereka menyanyikan nasyid dan menyebutkan keadaan mereka di
zaman jahiliah. Sekiranya datang perkara yang berkaitan dengan
agama mereka, terbeliak mata mereka seolah-olah mereka gila
kerana terlampau memberikan perhatian.12

Ibnu Siriin telah ditanya tentang para sahabat:

"Adakah mereka juga bergurau."

Dia menjawab:

"Mereka juga seperti manusia biasa. Ibnu Umar bergurau dan
mengungkapkan syair."13
Dengan yang demikian, pendapat golongan yang ekstrim, keadaan
mereka yang sentiasa berkerut dahi dan bermuka masam serta
serius di waktu pertemuan seperti yang disebabkan oleh penyoal
adalah tidak menunjukkan kepada hakikat sebenar agama ini dan
juga tidak bertepatan dengan petunjuk yang dibawa oleh
Rasulullah (s.a.w).

Pendapat ini adalah disebabkan oleh silap faham mereka
terhadap Islam, tabiat semulajadi mereka ataupun suasana yang
mempengaruhi perkembangan dan pendidikan mereka.

Walau bagaimanapun, seorang muslim memahami bahawa Islam
bukanlah diambil daripada tindakan peribadi tertentu atau
sekumpulan manusia. Mereka kadang-kadang betul dan
kadang-kadang salah.
Islam merupakan hujah ke atas mereka dan bukan sebaliknya.
Sesungguhnya Islam diambil daripada sumbernya; alQuran dan
Sunnah yang sahih daripada Rasulullah (s.a.w).

Penafsiran Nas Yang Menggambarkan Hakikat Yang Sebaliknya.

Mengenai nas-nas yang disebut oleh penyoal yang daripadanya
difahami bahawa Islam mengajak kepada kesedihan dan berkerut
dahi, di sum saya suka menerangkan beberapa fakta agar tidak
berlaku salah faham terhadapnya dan kita tidak mengeluarkan
maksudnya daripada ruang lingkupnya.

Firman Allah yang menasihati Qarun melalui lisan kaumnya yang
bermaksud:

"Janganlah engkau bermegah-megah dan bergembira (dengan
kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang
yang bermegah-megah dan bergembira (seperti lagakmu itu)".
Al-Qasas: 76

Ayat ini tidak boleh difahami bahawa ia menunjukkan kepada
kejian terhadap semua kegembiraan.

Tetapi kegembiraan yang dikeji di sini adalah kegembiraan yang
lahir daripada perasaan bangga, takbbur,ghurur(tertipu)dan
sombong yang menyebabkan pelakunya melupai kurniaan Allah
kepadanya dan mengatakan bahawa kurniaan to adalah hasil
daripada usahanya sendiri.

Kegembiraan ini adalah kegembiraan yang tidak bersandarkan
kepada kebenaran.

Begitu juga dengan kegembiraan musyrikin yang dikeji oleh
al-Quran dan dikatakan kepada mereka selepas mereka dimasukkan
ke dalam neraka melalui firman Allah:

"(Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab
siksa):

"Balasan buruk yang demikian ini disebabkan kamu dahulu
bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah (pada hukum
Tuhan), dan disebabkan kamu bersenang lenang dan
bermegah-megah dengan berleluasa (dalam maksiat). " Ghafir: 75


Perkara ini adalah sama dengan kegembiraan orang-orang yahudi
yang menyembunyikan sesuatu yang ditanya oleh Rasulullah dan
memberitahu perkara yang sebaliknya. Kemudian mereka berlalu
rasa puas dan gembira dengan apa yang telah mereka lakukan.
Bukan sekadar itu sahaja, mereka juga mengharapkan pujian
kerana mereka menjawab sesuatu yang hakikat. Ke atas mereka
turunnya firman Allah:

“ Janganlah sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad)
bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah
mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang
mereka tidak lakukan jangan sekali-kali engkau menyangka
mereka akan terselamat daripada siksa, dan (sebenarnya) mereka
akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya " Ali-
Imran: 188

Begitu juga kegembiraan disebabkan berbangga dengan
pengetahuannya yang zahir dan cetek serta menolak apa yang
disampaikan oleh wahyu. Allah (s.w.t) telah berfirman:

"Kerana pada masa mereka didatangi oleh rasul-rasul yang
diutuskan kepada mereka masing-masing dengan membawa
keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka
ejek-ejek akan apa yang dibawa oleh rasul--rasul itu dan)
mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka
(yang berhubung dengan keduniaan semata-mata); dan (dengan
yang demikian) mereka pun diliputi oleh azab yang mereka
ejek-ejek dahulu. " Ghaafir: 83

Rasulullah (s.a.w) telah bersabda:

"Janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa akan
mematikan hati. "

Sebenarnya, perkara yang dilarang oleh hadis ini bukannya
semata-mata ketawa tetapi berlebihan dalam ketawa. Setiap
perkara kalau melebihi hadnya, hukumnya akan bertukar menjadi
sebaliknya.

Ada pun hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah adalah seorang
yang sentiasa bersedih adalah hadis dha'if yang tidak boleh
dijadikan hujah. Hadis tersebut jugs bercanggah dengan hadis
sahih riwayat al-Bukhari yang mengatakan bahawa Rasulullah
sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada kesedihan dan
kegelisahan.

Kalau kita takdirkan hadis tersebut adalah sahih sekalipun, ia
masih lagi boleh ditakwilkan iaitu pemikiran Rasulullah
sentiasa sibuk dengan hal keadaan umat dan dakwahnya yang
terlampau
banyak.

Sungguh pun begitu baginda tidak sempit dada dan perkara
sedemikian dan tidak menghalang baginda daripada bergurau
senda dan memberikan kepada fitrah dan manusia akan hak
mereka.

Inilah yang dinamakan dengan kemanusiaan yang sempurna dan
ikutan yang paling mulia.

Kadar Yang di Benarkan Dalam Ketawa Dan Bergurau

Tadi kita telah katakan bahawa ketawa dan gurauan adalah
perkara yang diharuskan oleh syariat Islam seperti yang
dianjurkan nas-nas dan perjalanan hidup Rasulullah dan para
sahabat. Ini kerana fitrah manusia menuntut dan memerlukan
kepada yang boleh merehatkan kehidupan dan meringankan segala
yang menimpa.

Di sini Imam Ali (ra). telah berkata bahawa hati juga merasa
jemu seperti yang dirasai oleh jasad. Oleh kerana itu carilah
hikmat-hikmat yang menghiburkannya.

Beliau juga berkata:

"Rehatkan hatimu dari semasa ke semasa kerana hati apabila
dipaksa, ia akan menjadi buta."

Hiburan dan gurauan yang seperti ini juga boleh menyegarkan
kembali diri sehingga boleh menyambung kerja dan usaha yang
dilakukan. Ini samalah seperti manusia merehatkan binatang
tungggangannya ketika dalam perjalanan agar perjalanan itu
akan sampai ke matlamatnya.

Mengenai perkara ini Abu ad-Dardaak telah berkata:

"Aku menyegarkan diriku dengan sedikit hiburan agar aku
menjadi lebih kuat di atas kebenaran."

Ketawa, gurauan dan hiburan mamanglah diharuskan oleh syarak
tetapi ia juga mempunyai batasan dan syarat iaitu:

1: Tidak berbohong dan tidak mereka-reka dalam usaha
menggembirakan manusia sepertimana yang dilakukan oleh
sebahagian manusia sekarang ini pada bulan April yang dikenali
sebagai `April Fool'.

Sehubungan dengan perkara itu Rasulullah telah bersabda:

"Celakalah orang berkata-kata, maka dia berbohong untuk
mengetawakan orang lain, celakalah dia, celakalah dia,
celakalah dia. "

Rasulullah bergurau dan berkata-kata dengan perkara yang benar
sahaja.

2. Gurauan itu tidak mempunyai penghinaan atau kejian terhadap
orang lain kecuali apabila diizinkan dan
diredhai oleh tuan punya diri.

Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari
kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang
lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik
daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum
perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang
lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik
daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan
keaiban setengah yang lain; dan janganlah pula kamu panggil
memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang-orang
yang melakukanrya menjadi fasik maka) amatlah buruknya sebutan
nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. "
Al-Hujuraat: 11

Dalam hadis yang sahih, Rasulullah bersabda:

"Cukuplah seseorang itu dikira melakukan kejahatan apabila dia
menghina saudaranya. "

Saidatina `Aisyah telah menyebut keburukan salah seorang
daripada madunya dengan menyifatkannya sebagai seorang yang
rendah dan mengaibkannya, lalu Rasulullah bersabda:

"Wahai Aishahl Kamu telah menyatakan suatu perkataan yang
kalau dicampur dengan air laut nescaya ia akan mencukupinya."

`Aisyah berkata lagi:

"Aku telah mengajuk (ajuk gaya berjalan dan suara seseorang
atau yang seumpamanya) lalu baginda berkata:

"Aku tidak suka mengajuk-ajuk perbuatan orang lain sedangkan
aku begitu dan begini 14

3. Tidak menakut-nakutkan muslim yang lain.

Abu Daud meriwayatkan daripada Abdur Rahman bin Abu Laila,
beliau berkata:

"Sahabat-sahabat Rasulullah telah menceritakan kepada kami
bahawa mereka berjalan bersama-sama Rasulullah lalu seorang
daripada mereka bangun. Kemudian bangunlah sebahagian daripada
mereka lalu mengambil tali daripadanya dengan cara kekerasan
sehingga dia merasa takut. Melihat keadaan yang demikian
Rasulullah bersabda:

"Tidak halal bagi seseorang menakut-nakutkan muslim yang
lain."

An-Nu'man bin Basyir menceritakan bahawa ketika mereka
bersama-sama Rasulullah dalam suatu perjalanan, seorang
daripada mereka telah menguap di atas tunggangannya kerana
mengantuk. Maka seorang yang lain mengambil panah orang
tersebut sehingga dia tersedar dan didatangi ketakutan.
Rasulullah pun bersabda yang bermaksud:

"Tidak halal bagi seseorang menakut-nakutkan muslim yang
lain."

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda:

"Seorang muslim tidak harus mengambil barang kepunyaan
saudarnya samaada secara bermain-main atau serius.'

4. Tidak memandang remeh perkara yang serius dan tidak ketawa
pada keadaan yang sepatutnya ditangisi.

Setiap sesuatu ada tempatnya. Dan setiap tindakan ada masanya.
Orang yang bijaksana ialah mereka yang meletakkan sesuatu kena
pada tempatnya.

Al-Asma'ie meriwayatkan bahawa dia melihat seorang perempuan
kampung sedang sembahyang dengan penuh khusyuk diatas
sejadahnya. Setelah selesai mengerjakan sembahyang dia pun
menghiaskan dirinya dan bersolek. Lalu Asma' ie berkata:

"Adakah ini sesuai dengan sembahyang yang kamu kerjakan?"

Perempuan itu pun mengalunkan syair;

Hak Allah terhadapku tidakku abaikan
Bersuka-suka sebahagian hidupku dan pengecuaian jauh sekali

Beliau berkata:

"Dengan itu aku mengetahui bahawa dia merupakan seorang yang
kuat beribadat dan menghiaskan diri untuk suaminya."

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:

"Tiga keadaan yang bersungguh padanya adalah dikira
bersungguh, main-main padanya juga dianggap bersungguh iaitu::
kahwin, talak dan memerdekakan hamba. "

Allah Taala telah mencela musyrikin yang ketawa apabila
mendengar ayat suci al-Quran sedangkan merekalah yang paling
layak untuk menangis ketika itu.

Firman Allah:

"Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap
keterangan-keterangan al-Quran ini (sehingga kamu
mengengkarinya) ? Serta kamu tertawa (mengejek-ngejeknya) dan
kamu tidak mahu menangis (kesalkan kesalahan kamu serta
takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu
adalah orang-orang yang sombong angkuh lagi yang melalaikan
kewajipan? " An-Najm: 59-61

Allah Taala juga mencela golongan munafikin yang bergembira
dan bersukaria selepas menarik diri daripada berperang bersama
Rasulullah (s.a.w) dalam peperangan Tabuk dengan memberikan
alasan-alasan yang dusta. Firman Allah:

"Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut
berperang) itu, bersukcita disebabkan mereka ditinggalkan di
belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya)
tidak suka berjihad dengan hartabenda dan jiwa mereka pada
jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula
(menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar
beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini ".
Katakanlah (wahai Muhammad). "Api neraka jahannam lebih panas
membakar ". kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.
Maka boleh mereka (di dunia ini) ketawa sedikit dan mereka
akan menangis banyak (di akhirat), sebagai balasan bagi apa
yang mereka telah usahakan." At-Taubah: 81-82

5. Gurauan hendaklah ada kadarnya, sesuai dengan konsep
kesederhanaan dan perseimbangan yang dianjurkan oleh fitrah
manusia dan diredhai oleh akal yang waras serta sesuai dengan
masyarakat yang positif

Islam membenci pembaziran dan keterlaluan dalam setiap perkara
walaupun di dalam ibadat, apatah lagi dalam gurauan dan
kegembiraan.

Oleh sebab itulah datangnya tunjuk ajar yang diberikan oleh
Rasulullah (s.a.w) yang bermaksud:

"Jangan kamu memperbanyakkan ketawa, sesungguhnya banyak
ketawa mematikan hati."

Yang dilarang ialah ketawa yang berlebihan kerana ia akan
mematikan hati.

Ali (r.a). telah berkata:

"Berilah ruangan kepada gurauan dalam percakapan seperti garam
dalam makanan."

Ini adalah kata-kata yang bijak kerana ia tidak menolak
gurauan dan juga menunjukkan kepada mudarat yang akan berlaku
bila gurauan keterlaluan.

Keterlaluan inilah yang ditakuti akan membawa kepada
melalaikan diri daripada tugas-tugas dan kewajiban,
orang-orang yang bodoh naik kepala dan mendatangkan kemarahan
kawan. Mungkin inilah yang dimaksudkan daripada hadis
Rasulullah (s.a.w):

"Janganlah kamu bertengkar dengan saudara kamu dan janganlah
bergurau dengannya. "

Keterlaluan dalam bergurau adalah seperti bertengkar dengan
saudara kita kerana kedua-duanya boleh melukakan hatinya.
Sa'ad bin al-'Aas berkata kepada anaknya:

"Bersederhanalah di dalam gurauanmu, kerana gurauan yang
berlebihan akan menghilangkan kehormatan diri dan kamu akan
dipersendakan oleh orang yang bodoh. Meninggalkan gurauan pula
akan menjadikan si peramah kaku dan membosankan teman
sepergaulan."

Sebaik baik perkara adalah pertengahan. Itulah dasar Islam dan
ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri dan juga kelebihan
umat ini dibandingkan dengan umat yang lain. Itulah jalan yang
lurus yang kita berdoa kepada Allah agar mengurniakannya
kepada kita, dan meneguhkan segala percakapan, perbuatan dan
pendirian kita di atasnya.

Amin-Ya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....