السلام عليکم

Ahad, 9 Januari 2011

Antara Solat & Jihad

Assalaamu’alaikum warahmatullah...

Antara Solat dan Jihad

(a). Dari Jabir r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya tali penghubung antara seseorang dengan syirik dan kafir, ialah meninggalkan solat.” (0063) Sahih Muslim

Solat merupakan fardhu ain, sehingga meninggalkan solat adalah sebagai jalan menuju ke arah kekafiran. Solat juga merupakan amal yang paling utama dan perkara yang pertama di hisab pada hari kiamat.

(b). Dari Abdullah bin Mas’ud r.a : katanya dia bertanya kepada Rasulullah saw, ‘Amal yang bagaimanakah yang paling utama?’ Jawabnya, “Solat pada waktunya.” ‘Kemudian itu apa?’ tanyaku. Jawab Nabi saw, “Berbuat kebajikan pada ibu bapa.” ‘Kemudian itu apa?’ tanyaku lagi. Jawab beliau (Nabi saw), “Jihad fi Sabilillah!” ‘Aku sebenarnya hendak bertanya lagi, tetapi aku cukupkan sedemikian.’ (0066) Sahih Muslim

Tetapi, jangan lah kita memandang remeh pada jihad terutama zaman ini. Sila fahami hadis di bawah,

(c). Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, “Barangsiapa yang mati sedangkan ia belum pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk berjihad, maka ia mati dalam satu cabang kemunafikan.” [3097] Sahih Nasa’i

(d). Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, (Diringkaskan dari pertanyaan sahabat, apakah amal yang dapat menyamai jihad. Lalu Rasulullah saw menjawab, kalian tidak dapat melakukannya atau menyamainya).... “Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang beribadah (pada malam hari) dan berpuasa (pada siang hari), tanpa merasa penat melakukan solat dan puasa, sampai orang yang berjihad di jalan Allah itu kembali.” [1619] Sahih Al-Tirmidzi

Hukum jihad merupakan fardhu kifayah dan fardhu ain.

Fardhu Kifayah
Bukan bermakna, mereka yang berjihad di Palestin, maka kita terlepas dari hukum berjihad. Tetapi jihad itu tetap berterusan kepada mereka yang mampu, berdasarkan hadis,

(e). Dari Anas r.a : Nabi saw bersabda, “Perangilah kaum musyrikin dengan harta, tangan dan lisan kalian.” [3096] Sahih Nasa’i

Fardhu Ain
Jihad menjadi fardhu ain kepada mereka yang mampu, jika tidak dengan harta, jihad dengan tangan, jika tidak.. menggunakan lisan (Lisan termasuk juga dengan tulisan atau risalah-risalah dakwah).

Sekiranya tidak mampu melaksanakan ketiga-tiganya, maka memadai dengan keinginan untuk berjihad. Seperti hadis (c) di atas. Sekiranya dalam hati pun tiada keinginan untuk berjihad, maka jatuhlah ia ke dalam cabang kemunafikan.

KESIMPULAN :
1. Hukum jihad menjadi wajib pada zaman ini pada mereka yang mampu, kerana di mana-mana seluruh dunia Islam diperkotak-katikkan.

2. Jihad bukan semata-mata mengangkat senjata sahaja. Ia termasuk berjihad dengan lisan dan penulisan.

3. Tidak mungkin seseorang dapat berjihad dengan lisan jika tidak berilmu, maka menuntut ilmu salah satu cabang dari jihad (ilmu akhirat dan dunia).

4. Tidak terlepas hukum berjihad pada mereka yang mampu.

5. Solat dan Jihad sama pentingnya kepada umat Islam. Bezanya solat itu wajib tanpa alasan (kecuali yang dibenarkan-datang haid contohnya) kepada umat Islam, manakala jihad itu wajib pada mereka yang berkemampuan. Atas sebab itulah jihad tidak diletakkan dalam rukun Islam.

Wallahu’alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SEMOGA MEMBERI MANAFA'AT DAN DIBERI MANAFA'AT SERTA KEBERKATAN....